Berita

Penjimatan elektrik: Berhemah, guna alat cekap tenaga - Pakar

file pix

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Masyarakat perlu berhemah dalam menggunakan elektrik dengan sentiasa memantau penggunaan tenaga di rumah serta memilih peralatan elektrik cekap tenaga dalam situasi kos penjanaan elektrik yang kian meningkat, menurut pakar.

Pensyarah Kanan Pengajian Kejuteraan Elektrik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Nik Hakimi Nik Ali berkata melalui pendekatan itu pengguna boleh menjimatkan bil elektrik serta dapat mengelak dikenakan caj  Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) oleh syarikat pembekal elektrik.

 “Kalau kita menggunakan kurang daripada 300 Kilowatt per jam (Kwh) untuk sebulan, kita tidak dikenakan caj  KWTBB, syarikat pembekal elektrik akan kenakan caj kepada pengguna yang menggunakan 300 Kwh ke atas dan duit itu disalurkan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Nik Hakimi juga menyarankan kepada masyarakat agar menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai kecekapan tenaga bertaraf lima bintang. 

“Sebagai contoh barangan yang memerlukan banyak tenaga seperti peti sejuk, televisyen, mesin basuh dan pendingin hawa, walaupun harganya lebih mahal tetapi ia dapat menjimatkan bil elektrik kita  setiap bulan.

“Dalam masa sama, pengguna juga boleh menukarkan lampu kalimantang kepada lampu diod pemancar cahaya (LED). Kalau satu rumah kita menggunakan lampu tersebut ia akan memberi impak terhadap penggunaan bil bulanan,” katanya. 

Timbalan Dekan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) Profesor Hazlie Mokhlis pula menyarankan para pengguna mengoptimumkan penggunaan peralatan elektrik di rumah agar penggunaannya lebih cekap tenaga. 

“Kalau di rumah kita guna kipas, perlu sentiasa membersihkan (kipas) agar kita dapat nikmati penggunaan maksimum manakala bagi penggunaan mesin basuh pula, kita perlu menggunakan secara optimum dan kalau kita hendak gosok baju (seterika), kumpul baju dulu kemudian gosok semua sekali sebab apabila kita buka/tutup suis, ia melibatkan banyak tenaga,” katanya. 

Beliau menyarankan orang ramai sentiasa melakukan audit tenaga di rumah agar dapat melihat sendiri trend penggunaan harian dan bulanan menerusi aplikasi MyTNB yang dibangunkan oleh syarikat pembekal elektrik negara itu. 

“Masyarakat juga boleh pantau bil elektrik ini menerusi aplikasi MyTNB dan melihat sendiri pola tenaga elektrik setiap bulan supaya dari situ pengguna tahu bagaimana untuk menjimatkan penggunaan elektrik dalam rumah,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan peningkatan harga bahan api fosil terdiri daripada arang batu, minyak dan gas asli dijangka mempengaruhi kenaikan kadar tarif elektrik sekali gus memberi kesan kepada Malaysia dan negara-negara di seluruh dunia.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kadar tarif akan lebih tinggi untuk isi rumah memandangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini menghadapi kos pengeluaran tenaga yang tinggi berikutan kenaikan harga gas dan arang batu.

Pada akhir tahun lepas, harga arang batu melonjak kepada AS$200 (RM846) setan, meningkat daripada sekitar AS$50 setan pada pertengahan 2020; menjelang akhir Mei 2022, harga arang batu meningkat kepada AS$434 satu tan dengan arang batu menyumbang 59 peratus daripada sumber utama penjanaan elektrik Malaysia.

“TNB perlu memastikan perniagaan itu mampan (sebagai entiti korporat) tetapi saya berharap akan ada beberapa bentuk subsidi disasarkan untuk kumpulan bawah 40 (B40) berhubung tarif elektrik,” kata Ahmed Razman.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan campur tangan dan memberikan subsidi untuk TNB dalam jangka pendek bagi memastikan pelanggan akhir tidak terbeban.

Menurutnya, TNB juga perlu mempelbagaikan sumber perolehan gas dan arang batu dan bagi tempoh jangka panjang, memberi tumpuan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biofuel.

TNB Fuel Services Sdn Bhd memperoleh arang batu dari Indonesia, Australia, Afrika Selatan dan Rusia tetapi Indonesia menyumbang kira-kira 65 peratus daripada keperluan arang batu TNB.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]