KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kerjasama dalam dagangan tenaga, terutamanya yang dijana daripada sumber boleh diperbaharui dalam kalangan grid kuasa ASEAN akan menjadi penting bagi kelestarian dan kecukupan tenaga, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Dr Noor Miza Muhamad Razali, Pengarah Projek (Hala Tuju Kelestarian), Bahagian Strategi dan Usaha Niaga TNB berkata saling sambung grid adalah baik bagi sistem kuasa di mana-mana sahaja selain pemindahan tenaga kerana ia menawarkan langkah kestabilan kepada sistem.
Bagaimanapun, ini bergantung kepada negara masing-masing sama ada mereka menimbang penggunaan dalaman tenaga boleh diperbaharui adalah lebih baik dalam menangani agenda kelestarian, katanya semasa taklimat maya mengenai Laluan Kelestarian TNB, hari ini.
Pada September 2017, satu perjanjian tiga pihak ditandatangani yang menyaksikan TNB bersetuju untuk membeli 100MW elektrik dari Laos, menggunakan grid penghantaran bersama negara jiran Thailand.
Laos mengeksport elektriknya yang dijana daripada stesen kuasa hidro di Delta Mekong.
“Adalah menjadi amalan untuk memperdagangkan tenaga boleh diperbaharui dari satu negara ke negara lain dalam ASEAN dan sudah pastinya di seluruh dunia,” katanya.
“Apabila kita membicarakan mengenai Malaysia, kita perlu melihat kepada hakikat bahawa Sarawak memiliki saling sambung dengan Indonesia dan juga Sabah. Sabah juga sangat dekat dengan Filipina… jadi sudah pastinya ada peluang (bagi dagangan pada masa depan),” katanya.
Noor Miza berkata TNB mencatatkan kemajuan beransur-ansur dalam strategi pertumbuhan tenaga boleh diperbaharuinya untuk mencapai 8.3GW tenaga menjelang 2035; ketika ini, kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang dipasang berjumlah 3.4GW terdiri daripada hidro domestik (2.5GW), solar domestik (0.2GW) dan solar, hidro dan angin antarabangsa (0.7GW).
Menurutnya, TNB akan terus mengembangkan pelaburan tenaga boleh diperbaharuinya di pasaran luar negara dengan operasi sedia adanya dan meneroka pasaran baharu dalam bidang fokus yang dikenal pasti yang termasuk turbin angin, panel solar, hidrogen hijau, simpanan tenaga, mobiliti elektrik dan bandar pintar.
“Kami akan melabur dan mengembangkan teknologi hijau baharu kami untuk mencapai sasaran sifar bersih dan tanpa arang batu menjelang 2050,” katanya.
Pada lewat 2021 TNB membentuk Bahagian Tenaga Baharu untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui syarikat di pasaran bersasar dan menjalin perkongsian strategik dengan pemain tenaga boleh diperbaharui utama bagi memanfaatkan kepakaran teknikal.
Bahagian Tenaga Baharu itu menyelaraskan cabang pengembangan tenaga boleh diperbaharui TNB dan menyelia dua entiti utama -- anak syarikat milik penuh Vantage RE Ltd, untuk menumpu kepada pasaran United Kingdom dan Eropah dan TNB Renewables yang berpangkalan di dalam negara untuk menumpukan kepada pasaran domestik dan Asia Tenggara.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]