Berita

MOC AS-Malaysia, IPEF jadikan rantaian bekalan semikonduktor, elektronik berdaya tahan

Datuk Seri Wong Siew Hai (File pix)

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Pemeteraian Memorandum Kerjasama (MOC) Amerika Syarikat (AS)-Malaysia mengenai ketahanan rantaian bekalan semikonduktor dan pelancaran Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF) baru-baru ini akan membantu mengurangkan kos dengan menjadikan rantaian bekalan semikonduktor dan elektronik lebih berdaya tahan dalam jangka panjang.

IPEF dengan rakan kongsi permulaan seperti Malaysia, Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam mewakili 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata MOC AS-Malaysia dalam ketahanan rantaian bekalan semikonduktor dan IPEF adalah perkembangan positif terhadap industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia.

"Ianya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu hab semikonduktor global yang kritikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MSIA, Malaysia akan terus menjadi lokasi pelaburan yang menarik untuk syarikat semikonduktor dan E&E.

Tahun lepas, Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM148 bilion iaitu 9.5 kali pelaburan yang diluluskan pada 2020 berjumlah RM15.6 bilion.

"Trend untuk pelaburan ini dijangka berterusan dengan misi oleh Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini ke AS," katanya.

MSIA berkata industri sedang mengalami tempoh pertumbuhan yang tinggi dengan transformasi digital dan teknologi baharu seperti Internet Pelbagai Perkara (IoT), kecerdasan buatan, kilang pintar dan kenderaan autonomi.

Syarikat semikonduktor seperti Intel, Samsung, Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), China, AS dan Eropah telah mengumumkan pelaburan sejak tahun lepas yang melebihi US$550 bilion (US$1 = RM4.39) dalam kilang fabrikasi bagi memenuhi permintaan untuk semikonduktor.

"Syarikat -syarikat di Malaysia berkembang dan meningkatkan keupayaan untuk menangani kekurangan dalam cip semikonduktor. Malaysia juga menarik pelaburan baharu bagi mengukuhkan rantaian bekalannya.

"Rantaian bekalan semikonduktor yang lebih berdaya tahan dan fleksibel akan membolehkan industri menguruskan turun naik pasaran dengan lebih baik," katanya.

Industri itu perlu mencarta laluan ke arah masa depan yang mana pertumbuhan mampan dapat dicapai melalui daya tahan dan dunia yang terbuka serta berhubung sepenuhnya.

"Ini penting kerana sektor semikonduktor dan elektronik mempunyai rantaian nilai yang paling kompleks dan berselerakan secara geografi di dunia," katanya.

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]