Berita

Cari pelekat merah jika mahu lebih jimat

Google photo

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar & Mohamad Harith Mohamad Nizar

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Menjenguk ke kedai perkakasan dan peralatan elektrik, mungkin ramai menyedari kewujudan pelekat merah dengan jumlah bintang yang pelbagai di setiap produk.

Pelekat ini sebenarnya adalah Pelabelan Kecekapan Tenaga yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk memberi maklumat mengenai jumlah penggunaan tenaga setiap peralatan atau perkakasan elektrik dengan jumlah bintang lebih banyak bermaksud lebih jimat atau cekap dari segi penggunaan elektrik.

Secara logiknya, setiap peralatan atau perkakasan elektrik yang dipasang akan menyumbang kepada jumlah penggunaan tenaga dan kos bulanan yang perlu ditanggung.

Justeru, di sinilah pentingnya peranan pengguna itu sendiri untuk lebih peka dalam memilih peralatan yang jimat tenaga, kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran kepada Bernama.

Beliau berkata cekap tenaga bermaksud penggunaan tenaga lebih rendah tanpa mengganggu output aktiviti sesuatu alatan elektrik dan kini, sesuai dengan peredaran zaman, sememangnya terdapat banyak peralatan elektrik di pasaran dengan status cekap tenaga atau penarafan lima bintang daripada ST.

“Jika mahu jimat, pilih peralatan jimat tenaga dan berjimat cermat dalam menggunakannya. Contohnya, kurangkan tempoh mandi ketika menggunakan pemanas air atau tetapkan kapasiti kuasa kuda pendingin udara berdasarkan saiz bilik dan elakkan memasangnya di kawasan terbuka.

“Bergantung kepada amalan berjimat serta penggunaan peralatan cekap tenaga secara purata, julat penjimatan yang boleh dicapai ialah di antara lima hingga 15 peratus,” katanya.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya Profesor Dr Hazlie Mokhlis pula berkata peralatan dengan taraf cekap tenaga lima bintang ST, selain menggunakan tenaga elektrik yang kurang tanpa menjejaskan fungsinya, turut berfungsi dengan lebih baik.

Beliau berkata ini penting kerana berdasarkan satu kajian, hampir 40 peratus penggunaan tenaga di rumah didapati disumbangkan oleh perkakas elektrik yang asas di dapur seperti peti sejuk, ketuhar, ketuhar mikro dan cerek.

“Justeru pengguna disaran menggunakan peralatan cekap tenaga. Pengguna juga perlu bijak mengenal pasti keperluan penggunaan tenaga berdasarkan tiga faktor iaitu peralatan yang digunakan, bilangan alatan dan tempoh penggunaan,” katanya.

Selain itu, Hazlie berkata langkah mengaudit penggunaan tenaga sama ada di peringkat industri atau domestik membolehkan penggunaannya disemak lebih terperinci dan peralatan yang banyak menggunakan tenaga dikenal pasti.

“Pengguna perlu lihat dalam sebulan, banyak mana elektrik digunakan (berdasarkan bil) dan buat sedikit analisis untuk kenal pasti punca bil menjadi tinggi,” katanya.

Mengambil contoh daripada orang ramai, jurutera syarikat swasta How Han Leong, 32, berkata bagi menjimatkan elektrik, beliau lebih banyak memilih menggunakan peralatan elektrik dilengkapi teknologi inverter yang lebih efisyen dalam pengurusan tenaga.

Bagi suri rumah Siti Natirah Sulaiman, 41, yang memiliki tujuh anak, pengalaman menanggung bil elektrik yang tinggi ketika Perintah Kawalan Pergerakan dua tahun lepas cukup memberi kesedaran kepada ahli keluarganya untuk lebih berdisiplin dalam menjimatkan penggunaan elektrik

“Anak-anak juga sudah lebih peka… hanya gunakan peralatan jika perlu, misalnya tutup televisyen jika tidak menonton dan kurangkan bermain alat permainan video,” katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]