Berita

Abdul Rahim dilantik Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia baharu

Credit: Nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) Dr Abdul Rahim Harun dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi itu berkuat kuasa 11 April lepas.

Unit Komunikasi Korporat Agensi Nuklear Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Abdul Rahim adalah bagi menggantikan Dr Siti A’iasah Hashim yang telah bersara pada 1 Jan lepas.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Abdul Rahim adalah berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan beliau dalam penyelidikan teknologi nuklear.

“Pelantikan ini membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Agensi Nuklear Malaysia dan seterusnya meneruskan kecemerlangan dan mencapai matlamat kemajuan pembangunan dan penyelidikan nuklear,” menurut kenyataan itu.

Abdul Rahim menerima pendidikan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia pada 1988, Ijazah Sarjana dalam bidang Applied Genetics daripada University Of Birmingham, United Kingdom pada 1998 dan seterusnya Ijazah Kedoktoran dalam bidang genetik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2010.

Beliau merupakan pakar nuklear dalam bidang pembaikan mutasi tanaman dan pernah menjalankan beberapa misi pakar bagi pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Laos dan Mauritius.

Sementara itu, Dr Rosli Darmawan pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi) berkuat kuasa tarikh sama.

Menurut kenyataan itu, Dr Rosli yang berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Putra Malaysia pada 2015, sebelum itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal).

“Beliau merupakan pakar nuklear dalam bidang kemudahan dan utiliti aplikasi nuklear serta sistem keselamatan reaktor nuklear.

“Seluruh warga Nuklear Malaysia mengucapkan tahniah dan diharapkan kepimpinan dua individu terbabit dapat meneruskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan kemajuan nuklear negara,” menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]