Berita

Semua pihak perlu berganding bahu utamakan perlindungan alam sekitar, air dan tenaga - Mustapa

Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kerajaan berusaha untuk menyediakan akses selamat kepada air bersih dan sistem sanitasi yang mencukupi kepada 98 peratus rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar dengan bantuan pihak berkepentingan lain dan menubuhkan Pusat Bersepadu untuk Data Air, Penyelidikan dan Pembangunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata semua pihak mesti berganding bahu untuk mengutamakan perlindungan alam sekitar, air dan tenaga, memandangkan Malaysia beralih ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan akan menggunakan lima strategi iaitu memperkasakan rakyat sebagai pemacu transformasi sektor air; memperkukuh tadbir urus di peringkat Persekutuan; negeri dan daerah; meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan data; memastikan pembiayaan yang mampan dan membangunkan infrastruktur yang mampan dan kos efektif.

“Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040), agenda dua dekad yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, akan membolehkan sektor air menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan negara dan penciptaan kekayaan dengan menjadi hab industri air serantau,” katanya dalam ucapan perasmian pada webinar Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 6: Air Bersih dan Sanitasi, hari ini.

Webinar itu dianjurkan bersama Persatuan Air Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Mustapa berkata di Malaysia, 96 peratus daripada jumlah penduduk mempunyai akses kepada air bersih dan terawat, manakala 85 peratus mempunyai akses kepada perkhidmatan pembetungan bersambung.

“Bagaimanapun, jurang perbezaan antara negeri kekal ketara kerana hanya 89 peratus penduduk di Sabah dan 73 peratus di Kelantan mempunyai akses kepada air bersih.

“Oleh itu meningkatkan akses kepada air bersih dan terawat, terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil di negara kita, adalah satu kemestian,” kata beliau.

Beliau turut menggariskan beberapa isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri air termasuk pengurusan sumber air yang lemah, yang menjejaskan bekalan dan kualiti air serta tarif di beberapa negeri yang tidak meliputi kos operasi dan air tidak terhasil (NRW). 

“NRW adalah tinggi terutamanya di kawasan luar bandar. Kegagalan air yang dihasilkan sampai kepada pengguna yang dimaksudkan adalah disebabkan terutamanya oleh kebocoran daripada infrastruktur yang semakin tua, dan ini termasuk paip dan tangki,” katanya.

Mustapa berkata kurang kesedaran tentang kepentingan sumber air dalam kalangan rakyat Malaysia turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi negara hari ini.

“Tiada platform yang kukuh untuk penglibatan komuniti tempatan yang inklusif dalam tadbir urus air manakala kurangnya perhatian di sekeliling sektor air telah menyebabkan pembaziran yang tinggi.

“Selain itu, ketiadaan pembuatan keputusan berasaskan data dan sains juga menyumbang kepada pengurusan sektor air yang tidak cekap,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]