The Malaysian Gas Association (MGA) President Abdul Aziz Othman
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sebagai pendukung utama industri gas asli negara, Persatuan Gas Malaysia (MGA) akan meneruskan peranannya dalam menggalakkan dasar yang saksama bukan sahaja bagi pelanggan tetapi juga kesemua pemain dalam rantaian nilai.
Presiden MGA Abdul Aziz Othman berkata persatuan itu komited untuk mengekalkan peranan bagi memastikan industri gas asli akan terus mampan dan dinamik selama mungkin.
Sebagai penghubung antara kerajaan, penggubal dasar dan pemain industri, MGA membantu mempermudahkan perbincangan antara kesemua pihak bagi memastikan peralihan lancar dalam industri gas.
"Kami akan menyokong bagi memastikan gas tersedia kepada semua orang tetapi harga perlu mampu milik dan kompetitif, dan bukan sebaliknya menurunkan harga.
"Semasa kami ditubuhkan pada 1986, kami menganjurkan penggunaan gas kerana ia kurang diketahui umum dan kerana ia merupakan bahan api paling bersih berbanding dengan bentuk gas lain seperti arang batu,” katanya kepada Bernama menerusi satu temu bual baru-baru ini.
Persatuan itu memiliki 130 ahli korporat daripada keseluruhan rantaian nilai gas termasuk syarikat yang terlibat dalam pengguna gas berskala besar seperti penjana kuasa dan industri, pengeluaran dan penghantaran gas serta perkhidmatan sokongan seperti perundingan dan kejuruteraan.
MGA juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan penggunaan gas yang cekap dan mewujudkan permintaan menerusi penjanaan bersama, cara menjana kuasa elektrik dan tenaga haba yang lebih cekap dan bersih seperti haba dan wap, daripada satu sumber bahan api.
Liberalisasi Penuh Diperlukan Untuk Mengekalkan Industri, Tarik Pelabur dan Pemain Pihak Ketiga
Abdul Aziz menegaskan bahawa harga gas sepatutnya berada pada harga pasaran dan menggesa liberalisasi penuh dalam gas asli yang diperlukan untuk mengekalkan industri.
Beliau berkata liberalisasi penuh dalam industri gas asli akan menarik pemain pihak ketiga dan pelabur serta menyatakan normalisasi harga akan membolehkan akses pihak ketiga (TPA), menyediakan peluang serta manfaat bagi kedua-dua pembeli dan pembekal serta memastikan jaminan bekalan tenaga jangka panjang.
Setakat 1 Jan, 2022, pengedaran gas ke sektor bukan kuasa telah diliberalisasikan sepenuhnya.
"Pengguna terbesar industri gas adalah penjanaan kuasa. Industri gas dari segi teknikalnya perlu diliberalisasikan sejak Januari 2020 tetapi masih dikawal oleh kerajaan,” kata Abdul Aziz.
"Jika kita mahu menjadikan industri gas ini mampan, kita akan menganggap bahawa liberalisasi penuh itu perlu berlaku daripada hanya melibatkan sektor perindustrian semata-mata,” kata Abdul Aziz.
Malah, beliau turut menyifatkan sektor tenaga sebagai pemacu utama permintaan gas dalam aspek penjanaan elektrik di negara ini.
Sebahagian besar daripada hampir 50 peratus pengeluaran gas itu adalah bagi menampung sektor tenaga.
MGA turut menyasarkan permintaan gas dalam sektor tenaga kekal kukuh memandangkan kedudukan gas asli sebagai bahan api penting untuk peralihan tenaga dan menangani cabaran tenaga bagi memastikan jaminan tenaga jangka panjang untuk negara.
Abdul Aziz berkata Semenanjung Malaysia menyumbang sebahagian besar daripada permintaan gas negara manakala sebahagian besar gas asli yang terhasil daripada luar pesisir pantai Malaysia Timur dieksport dalam bentuk gas asli cecair (LNG).
Mengulas impak COVID-19 terhadap industri gas asli, MGA yakin keadaan akan kembali pulih dengan peningkatan permintaan susulan pembukaan semula ekonomi.
“Permintaan ternyata susut ketika pelaksanaan tempoh sekatan pergerakan pertama pada 2020. Kami turut melihat permintaan terhadap gas asli bertambah baik apabila kilang-kilang dibenarkan untuk terus beroperasi.
“Oleh kerana ekonomi telah dibuka semula dan kilang-kilang dapat beroperasi seperti biasa, kami menjangkakan permintaan gas tersebut akan terus meningkat dan memberi manfaat kepada kalangan penggiat,” katanya.
Mengurangkan Kebergantungan Kepada Arang Batu
Malaysia telah memberi komitmen untuk mencapai status sebagai negara neutral karbon menjelang seawal 2050 yang turut melibatkan usaha untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu baharu.
Sejajar usaha ke arah negara neutral karbon menjelang 2050 itu, Abdul Aziz berkata Malaysia turut memerlukan gas asli, terutamanya sebagai bahan api bagi tujuan penjanaan tenaga dan sebagai pelengkap tenaga boleh diperbaharui.
MGA merupakan sebaagian daripada jawatankuasa teknikal bagi Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) untuk merangka hala tuju industri dalam pengoptimuman pertumbuhan permintaan, memastikan jaminan bekalan dan liberalisasi pasaran bagi meningkatkan kecekapan serta daya saing.
NGR yang sedang dimuktamadkan, dirangka bagi menyokong Dasar Tenaga Negara dan boleh menyumbang ke arah mencapai jaminan keselamatan tenaga bagi jangka panjang pada penetapan harga lebih kompetitif dan pada masa sama memastikan kemampanan alam sekitar.
Ketika ini, hampir 60 peratus daripada penjanaan kuasa menggunakan arang batu di Semenanjung Malaysia.
"Kami berpendapat gas berada pada kedudukan yang baik untuk melengkapkan aspirasi pelepasan karbon sifar bersih kerajaan," kata Abdul Aziz.
Persatuan itu juga berharap semakan semula industri Bekalan Elektrik seperti yang dinyatakan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 akan direalisasikan untuk menangani sebarang ketidakseimbangan dalam pasaran tenaga.
Sementara itu, TNB juga komited untuk pelepasan arang batu sifar menjelang tahun 2050 dan aspirasi itu disokong oleh komitmen untuk mengurangkan 35 peratus intensiti pelepasan serta 50 peratus kapasiti penjanaan arang batunya menjelang 2035.
Menurut Laporan Pelan Pembangunan Tenaga Penjanaan Semenanjung Malaysia 2020, gas asli dijangka memainkan peranan jangka panjang untuk menyediakan akses dan keselamatan tenaga dan pada masa yang sama membantu negara mencapai sasaran pengurangan kadar pelepasan gas rumah hijau yang lebih baik sebanyak 45 setiap peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata peralihan tenaga bukanlah perubahan semalaman kerana ia mengambil masa bertahun-tahun dalam pelaburan dan memerlukan dasar komprehensif untuk strategi jangka pertengahan hingga panjang.
"Peralihan mesti pragmatik dan dirancang dengan teliti memandangkan setiap negara mempunyai keadaan berbeza. Kita perlu memikirkan jalan terbaik untuk negara," tambahnya.
Kerjasama Industri
Kerjasama merentasi industri gas adalah penting untuk memastikan pemahaman pemain industri mengenai liberalisasi pasaran gas bagi menjadikannya lebih aktif dan berdaya saing.
Pasaran gas yang berjaya dan diliberalisasi sepenuhnya akan membawa ke arah industri gas asli yang cergas dan mampan serta negara akan mendapat manfaat daripada keselamatan dan kebolehpercayaan tenaga yang dipertingkatkan.
"Pasaran yang rancak akan menggalakkan penggunaan gas yang lebih banyak, meningkatkan permintaan gas, memastikan keselamatan bekalan seterusnya merangsang lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan di seluruh rantaian nilai industri gas.
MGA dijangka sibuk memainkan peranannya sebagai penghubung antara penggubal dasar, pengawal selia dan pemain industri untuk meneruskan kajian semula industri Bekalan Elektrik seperti yang komited dalam rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]