Berita

TM peroleh tarif elektrik hijau bagi tiga pusat data

Imri Mokhtar

KUALA LUMPUR, 24 Mac -- Telekom Malaysia Bhd (TM) baru-baru ini memperoleh Tarif Elektrik Hijau (GET) bagi tiga pusat datanya sekali gus membolehkan pelanggan perkhidmatan pusat data itu mempercepat perjalanan kemampanan mereka.

Menurut TM, GET tersebut diperoleh daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi Pusat Data Teras Lembah Klang (KVDC) di Cyberjaya, Selangor; Pusat Data Teras Iskandar Puteri (IPDC) di Johor Bahru, Johor dan Pusat Data Bandar Raya Kuala Lumpur (CTDC) di Brickfields di sini.

“Perolehan bekalan tenaga hijau ini melengkapkan pensijilan yang diterima sebelum ini oleh pusat-pusat data itu sebelum ini iaitu Indeks Bangunan Hijau (GBI) serta Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) untuk penggunaan tenaga yang cekap.

“Ini mengukuhkan lagi komitmen TM ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan kesan terhadap alam sekitar,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

GET merupakan antara inisiatif kerajaan dalam memberi pilihan kepada pengguna untuk menggunakan elektrik hijau daripada bekalan tenaga boleh baharu, memandangkan negara sedang bergerak ke arah mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar berkata dengan tenaga elektrik bersih ini, TM akan mengurangkan kesan pusat datanya ke atas alam sekitar secara ketara di samping terus membolehkan pelanggan, daripada kalangan syarikat utama, sektor awam atau penskala hiper global, menikmati kemudahan, kestabilan dan keselamatan perkhidmatan pusat datanya.

“Sumber terbesar pelepasan karbon di seluruh dunia adalah daripada penjanaan elektrik serta pengurusan haba, dan pusat data menggunakan sejumlah besar tenaga untuk mengoperasikan teknologi maklumat dan menyelesaikan bebanan kerja awan.

“Ini secara tidak langsung menyumbang kepada tahap pelepasan karbon yang tinggi kerana elektrik lazimnya disalurkan daripada bekalan tenaga berasaskan bahan api fosil,” katanya.

Perolehan GET merupakan antara usaha terbaru kumpulan itu di bawah tonggak alam sekitar berdasarkan komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) TM, jelasnya.

“Menyedari tanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kesan iklim, TM merangkumkan faktor kemampanan dalam semua operasi selain menjalankan aktiviti pemeliharaan alam semula jadi menerusi yayasannya, Yayasan TM,” menurutnya.

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]