Berita

Petronas, ENEOS bekerjasama bagi projek hidrogen komersial pertama



KUALA LUMPUR, 11 Mac -- Petronas Hydrogen Sdn Bhd dan ENEOS Corporation (ENEOS) telah menandatangani satu Perjanjian Kajian Kebolehlaksanaan Bersama (JFSA) membabitkan kajian projek pengeluaran dan penukaran hidrogen komersial di Kerteh, Terengganu. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata menerusi JFSA itu, kedua-dua pihak akan meneruskan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial secara terperinci bagi pengeluaran hidrogen berkarbon rendah daripada kemudahan sedia ada Petronas, pengeluaran hidrogen hijau daripada kemudahan elektroliser berkuasa hidro baharu dan penukaran hidrogen kepada metilsikloheksana (MCH).

“Perjanjian itu merupakan sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada Ogos lepas membabitkan pembangunan rantaian bekalan hidrogen bersih antara Malaysia dan Jepun.

“Kemudahan itu dijangka mempunyai jumlah pengeluaran hidrogen serta kapasiti penukarannya sehingga 50,000 tan setahun menjelang 2027 untuk eksport dalam bentuk MCH ke Jepun manakala hidrogen bersih akan diedar kepada industri Jepun menerusi kilang penapisan ENEOS.

“Apabila beroperasi kelak, projek itu berpotensi untuk muncul sebagai pelaksanaan hidrogen-kepada-MCH berskala komersial pertama dunia. Keputusan akhir pelaburan itu dijangkakan menjelang akhir 2023,” kata Petronas. 

Menurut syarikat itu, menerusi ENEOS, projek hidrogen-kepada-MCH itu turut dipilih sebagai antara projek Dana Inovasi Hijau oleh kerajaan Jepun, sekali gus membuktikan aspek daya mahu dan daya saing projek berkenaan yang menjadi aspek kritikal dalam pembangunan rantaian bekalan hidrogen bersih baharu.

Pembiayaan sebanyak dua juta trilion yen turut diperkenalkan bagi menyokong projek-projek penyelidikan dan pembangunan hijau bagi melonjakkan impian rancangan penyahkarbonan Jepun, termasuk bagi memenuhi sasaran permintaan tiga juta tan hidrogen bersih setahun menjelang 2030.

Selain itu, Petronas dan ENEOS turut meninjau usaha atau projek hidrogen serta peluang teknologi di peringkat domestik dan global.

“Kerjasama ini menyasarkan untuk membangunkan satu rantaian bekalan hidrogen yang kompetitif dan menjadi elemen penting bagi agenda penyahkarbonan kedua-dua pihak,” katanya.

Menurut syarikat minyak dan gas nasional, ia telah memeterai beberapa kerjasama strategik dengan penggiat pasaran domestik dan antarabangsa sejak 2020 bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran hidrogen dan rangkaian penghantarannya, merangkumi hidrogen berkabon rendah dan hijau.

Ini termasuk mengumumkan penubuhan satu entiti bebas baharu yang menumpukan penyelesaian tenaga lebih bersih dan bagi merebut peluang dalam peralihan tenaga yang seiring dengan portfolio teras syarikat itu.

Menurut Petronas, entiti tersebut akan menawarkan penyelesaian berkarbon rendah kepada pelanggan menerusi tiga tawaran teras awal -- boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau.

 -- BERNAMA 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]