Berita

Gas Malaysia bekerjasama dengan Kulim Greenergy dalam penerokaan gas mesra alam



KUALA LUMPUR, 2 Mac -- Gas Malaysia Bhd telah bekerjasama dengan Kulim Greenergy Sdn Bhd bagi menghasilkan Metana Bio Mampat (Bio-CNG) untuk disuntik ke dalam rangkaian Sistem Pengagihan Gas Asli Gas Malaysia.

Syarikat-syarikat itu dalam satu kenyataan bersama memberitahu Bio-CNG tersebut akan dibekalkan oleh kilang kelapa sawit Kulim (Malaysia) Bhd iaitu Tereh dan Sindora yang terletak di Kluang, Johor.

Perjanjian pembelian gas itu telah dimeterai antara subsidiari milik penuh Gas Malaysia, Gas Malaysia Pipeline Virtual Sdn Bhd dan Kulim Greenery, yang merupakan anak syarikat milik penuh Kulim.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata terdapat potensi untuk penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan mampan di Malaysia, yang terus dipacu oleh landskap tenaga hijau yang semakin berkembang.

"Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kulim Greener dalam penerokaan ini. Kami yakin bahawa masa depan akan didokong oleh tenaga yang boleh diperbaharui dan lestari," katanya.

Gas Malaysia berkata perkongsian itu adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaiannya untuk meneroka jalan dalam rantaian nilai gas bagi terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kulim Mohd Faris Adli Shukery berkata penerokaan kali ini adalah antara usaha kumpulan untuk merealisasikan komitmennya dalam ekonomi kitaran sebagai sebahagian daripada inisiatif "Sisa kepada Harta" kumpulan berkenaan.

Ekonomi kitaran merujuk kepada sumber-sumber secara mampan dengan penekanan terhadap kitar semula serta penggunaan semula bagi mengurangkan sisa daripada isi rumah kepada perniagaan dan kerajaan.

"Ia adalah selaras dengan aspirasi Kulim untuk menggabungkan amalan kelestarian ke dalam aktiviti perniagaan kami. Kami menjangkakan usaha ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dengan mengubah kos pematuhan kami menjadi aliran pendapatan baharu," kata Mohd Faris.

Penerokaan dalam gas mesra alam ini adalah langkah positif ke arah menyokong aspirasi negara yang mana Gas Malaysia dan Kulim Greenery akan memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk pertumbuhan jangka panjang mereka.

 

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]