Berita

TNB, MARii jalin kerjasama bangun ekosistem kenderaan elektrik

Credit: Tenaga Nasional Berhad (TNB)

KUALA LUMPUR, 25 Feb -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Malaysia Automotive, Robotics and IOT Institute (MARii) menjalin kerjasama strategik dalam mewujudkan platform bagi menangani cabaran penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara menyeluruh seiring peralihan tenaga negara.

Kerjasama kedua-dua syarikat itu bertunjangkan kolaborasi pembangunan bersama ekosistem EV, membolehkan pelaksanaan Mobility as a Service (MAAS) dan inisiatif berkaitan dalam pasaran automotif di Malaysia.

TNB dan MARii hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan syarikat utiliti itu mengambil bahagian bersama-sama dengan MARii bagi menubuhkan EV Interoperability Centre (EVIC) di Cyberjaya termasuk dalam pembahagian tenaga dan rangkaian grid untuk mewujudkan garis panduan pengembangan penggunaan EV di seluruh negara.

Presiden dan Ketua pegawai eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata dalam usaha menuju mobiliti rendah karbon sejajar peralihan tenaga negara, syarikat itu mengambil langkah jelas menerokai bidang mobiliti elektrik yang memberi fokus kepada tenaga hijau, termasuk menyediakan infrastruktur EV.

“Semua usaha ini bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat dengan keutamaan terhadap tahap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menjadi agenda TNB,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Baharin berkata kerjasama tersebut merupakan satu lagi bukti komitmen TNB terhadap inisiatif kerajaan dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus menjelang 2030.

Ia juga merupakan sebahagian daripada Hala Tuju Kelestarian TNB ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. 

“Usaha ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pelabur mengenai komitmen terhadap ESG dan inisiatif menangani perubahan iklim, malah menyediakan potensi langkah-langkah strategik pengembangan bisnes melangkaui kWh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Mohamad Madani Sahari berkata MARii dan MITI bakal menubuhkan Electric Vehicle Interoperability Center (EVIC), di mana teknologi penjanaan dan penyimpanan tenaga akan menjadi pemegang taruh penting dalam mengembangkan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan bagi kegunaan pengilang EV dan pembekal komponen kritikal di bawah EVIC.

MoU itu juga memberi fokus terhadap pelaksanaan Projek Perintis EV Hub Langkawi yang menyokong visi sasaran Pulau Langkawi sebagai Pulau Rendah Karbon 2030.

Antaranya adalah menerusi potensi memperkenalkan EV mampu milik dengan kerjasama pihak institusi perbankan, para pembekal, pengilang dan pengedar kenderaan dan juga pengusaha kereta awam, teksi dan e-hailing.

Madani juga berkata kerjasama strategik itu adalah penting dan bersandarkan kepada kepakaran MARii dalam pembangunan sistem pintar bagi ‘automotive humanisation and utilisation’ dan penggunaan aplikasi perkakasan dan teknologi digital terkini, selari dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang diselia oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

Dalam memastikan kejayaan kerjasama itu, MARii memberikan akses terhadap data, analisa, laporan dan penyelidikan yang disediakan selain meneraju pembangunan Internet Pelbagai Benda (IoT), telematik, MAAS dan EVIC di Cyberjaya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]