Berita

Kerjasama strategik TNB dan MBI promosi kehidupan secara lestari



IPOH, 20 Feb -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mewujudkan kerjasama strategik dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi membekalkan produk dan perkhidmatan kecekapan tenaga serta solusi tenaga boleh baharu (RE) bagi mempromosikan kehidupan secara lestari dan hijau.

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia meliputi pemasangan sistem solar fotovoltaik, lampu jalan pintar diod pemancar cahaya (LED), sistem prestasi tenaga, sistem pemantauan, ekosistem pengecasan kenderaan elektrik serta meter pintar yang merupakan antara komponen menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Pintar menjelang 2030.

“Kerjasama strategik itu telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB dengan MBI serta Perjanjian Bekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) bersama anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX Sdn Bhd sempena Majlis Pelancaran Pelan Perancangan Strategik MBI, Ipoh Bandar Raya Rendah Karbon dan Walkable City 2030 pada 9 Februari lepas.

“TNB komited membantu Ipoh mencapai impian menjadi sebuah bandar raya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang 2030, sejajar dengan Hala Tuju Kelestarian syarikat utiliti itu untuk mencapai pelepasan sifar bersih 2050,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, kerjasama antara TNB, MBI dan GSPARX Sdn Bhd telah bermula sejak Januari tahun lepas melalui Program Smart City Blueprint yang melibatkan sesi menandatangani SARE bagi pemasangan panel solar fotovoltaik di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC). 

Pemasangan itu siap pada Julai 2021 dengan memberi penjimatan bil elektrik hingga RM2.5 juta kepada MBI bagi tempoh 21 tahun.

Selain itu, dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharudin Din berkata kerjasama strategik tersebut akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua pihak khususnya dalam aspek ekonomi dan kebajikan sosial rakyat terutamanya warga bandar raya Ipoh.

“Melalui perancangan teliti dan perkongsian kepakaran di seluruh TNB, kami yakin dapat menunaikan janji kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menyokong kedua-dua aspek ekonomi dan kebajikan sosial penduduk Ipoh dalam mencapai Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020-2030,” katanya.

-- BERNAMA


 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]