Berita

ADB sokong peralihan tenaga, puji prestasi ekonomi Indonesia



Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Feb  -- Bank Pembangunan Asia (ADB) berikrar untuk terus memberi sokongan padu ke atas inisiatif peralihan tenaga Indonesia menerusi kemudahan kewangannya.

Presidennya, Masatsugu Asakawa memberi komitmen itu dalam pertemuannya dengan Presiden Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Istana Presiden di Bogor pada Jumaat.

“ADB telah menyatakan sokongan bagi pembiayaan tenaga dan pembiayaan lain untuk beberapa projek yang sedang dijalankan,” kata Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia Suharso Monoarfa.

Menurutnya, ADB dan Indonesia telah bekerjasama selama 55 tahun dan bank pembangunan serantau tersebut membiayai 14 projek yang dijalankan ketika ini.

Pada 17 Februari lepas, ADB meluluskan pinjaman berjumlah US$150 juta untuk menyokong projek infrastruktur hijau Indonesia bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Indonesia juga dalam usaha mempercepat peralihan tenaga bersih ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2060 menerusi pembangunan tenaga boleh diperbaharui, pemuliharaan tenaga dan penggunaan teknologi tenaga bersih.

Malah, ia telah melancarkan sebuah taman perindustrian hijau seluas 16,000 hektar di daerah Bulungan, wilayah Kalimantan Utara pada Disember lepas.

Kawasan itu akan dilengkapkan dengan penggunaan tenaga bersumberkan loji janakuasa solar dan hidro selain turut menjadi model pembangunan taman perindustrian hijau pada masa depan dalam usaha menyokong peralihan tenaga di negara itu.

Taman perindustrian tersebut yang merupakan kerjasama antara pelabur Indonesia, China dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) juga bertujuan menarik kehadiran syarikat berteknologi tinggi seperti panel solat, bateri aluminium dan lithium-ion hijau.

Suharso yang turut menyertai mesyuarat dengan ADB, berkata bank tersebut turut memuji pihak berkuasa republik itu yang mencatat prestasi ekonomi baik sepanjang 2021.

Negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu mencatat pertumbuhan 3.69 peratus pada 2021 daripada setahun sebelumnya -- peningkatan semula berbanding penguncupan 2.07 peratus pada 2020 susulan pemulihan penggunaan dan mobiliti awam.

Pada mesyuarat itu, Jokowi turut memberi taklimat mengenai kemajuan ekonomi negara berkenaan antaranya menerusi industri hiliran.

“Presiden Jokowi yakin pembangunan industri hiliran tersebut dapat meningkatkan nilai mineral sebelum dieksport dan mampu meningkatkan baki akaun semasa negara," kata Suharso.

Jokowi telah mengenal pasti tiga bidang bagi tujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi iaitu ekonomi hijau, pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta pembangunan industri hiliran.

Indonesia turut memberi tumpuan terhadap pemprosesan komoditi dalam produk siap guna pada tahun ini yang dimulakan dengan nikel mentah ke dalam produk seperti keluli tahan karat serta bateri kereta elektrik bagi menyuntik nilai tambah ke atas komoditi tersebut.

Pada November lepas, Jokowi berkata Indonesia boleh menjana nilai tambah sebanyak US$35 bilion dengan menghasilkan lebih banyak usaha penapisan nikel di peringkat domestik berbanding penghantaran bahan mentah ke luar negara.

Strategi perindustrian nikel itu telah dimulakan menerusi kerjasama antara syarikat milik negara, Indonesia Battery Corporation dan konsortium diterajui oleh LG Group dari Korea Selatan yang bernilai US$9.8 bilion.

Indonesia mempunyai sejumlah 21 juta tan nikel yang juga simpanan terbesar di dunia.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]