Berita

Kerajaan diminta pertimbang tangguh gaji minimum, kenaikan tarif elektrik: MBAM

MBAM President Tan Sri Sufri Mhd Zin

KUALA LUMPUR, 12 Feb -- Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) meminta kerajaan untuk mempertimbang penangguhan melaksanakan gaji minimum dan kenaikan tarif elektrik kepada dua tahun akan datang untuk disesuaikan dengan kestabilan dan kemampuan industri.

Presidennya Tan Sri Sufri Mohd Zin berpandangan, gaji minimum dan tarif elektrik perlu dikekalkan dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan COVID-19.

“Perniagaan pembinaan memberi tumpuan dalam menyiapkan projek tertangguh sambil meminimumkan impak keuntungan yang semakin kecil. Peningkatan kos selanjutnya dalam menjalankan perniagaan boleh memberi kesan buruk terhadap ekonomi pembinaan.

“Ini terutamanya akan menjejaskan operasi kontraktor kecil bagi kategori G1-G4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Sufri berkata cadangan kenaikan gaji minimum itu akan menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus sejak pelarasan terakhir pada 2020, sekali gus mencatatkan kenaikan tahunan 12.5 peratus, peningkatan ketara berbanding julat tahunan sebelum ini.

Katanya sejak Malaysia dilanda pandemik, kontraktor perlu menampung semua kos tambahan berkaitan COVID-19 dan mematuhi Akta 446 bagi menyediakan kediaman yang sesuai kepada pekerja.

“Kesemua kos ini tidak diambil kira sebagai kos projek, sekali gus menyebabkan kontraktor perlu menanggung bebannya,” katanya.

Mengulas mengenai kenaikan tarif elektrik, Sufri berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih mencatatkan peningkatan perolehan dan pendapatan menerusi rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak dua sen setiap kilowatt jam (kWj) yang dikenakan kepada semua pelanggan sebelum ini.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan surcaj sebanyak 3.7 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik seperti perindustrian dan komersial untuk tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022 -- peningkatan ketara sebanyak 85 peratus berbanding tarif elektrik yang terakhir. 

Oleh itu, Sufri berkata perniagaan digesa tidak mengambil kesempatan daripada tempoh yang mencabar ini.

“Bergantung kepada saiz perniagaan dan penggunaan elektrik dalam operasi pembinaan, kenaikan tarif elektrik akan memberi impak yang besar kepada kontraktor yang kecil untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]