KUALA LUMPUR, 7 Feb -- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) kini membuat pelawaan akhir bagi penyertaan untuk Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2022 yang bertujuan menggalakkan pelaksanaan amalan tenaga secara mampan.
Bagi NEA 2022, sejumlah 20 anugerah akan ditawarkan yang merangkumi tiga kategori.
Ketika berkongsi kepentingan dan kewajaran NEA, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata impak perubahan cuaca telah mencecah paras yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Berikutan itu, katanya, rakyat pada masa sekarang memerlukan teknologi dan penyelesaian tenaga mampan yang dapat mengurangkan ketidaktentuan akibat cuaca serta mengehadkan impaknya ke atas alam sekitar.
“Kementerian percaya usaha dan bakat tempatan juga perlu diiktiraf dan dihargai dalam usaha memacu amalan serta penerimagunaan penyelesaian tenaga mampan di negara ini.
“Berdasarkan kejayaan NEA dalam mengetengahkan amalan tenaga mampan terbaik di Malaysia, saya menggesa mereka yang layak menyertai (anugerah) dan berkongsi kisah kejayaan anda dengan khalayak lebih besar.
“Dalam banyak aspek, platform seperti NEA dapat melonjakkan daya saing dan kehadiran Malaysia dalam landskap tenaga mampan global, sekarang dan bagi tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anugerah tersebut dibuka untuk kalangan rakyat, syarikat dan organisasi tempatan yang layak, termasuk institusi pengajian tinggi yang telah melaksanakan tenaga boleh diperbaharui, tenaga cekap, pengurusan tenaga serta projek atau inisiatif kontrak prestasi tenaga.
Selain menawarkan dua anugerah baharu bagi bangunan kediaman hijau dan bangunan sifar tenaga, terdapat satu kategori khusus bagi mengiktiraf usaha institusi kewangan dalam aspek pembiayaan tenaga yang mampan.
Anugerah NEA yang diperkenalkan pada 2018 telah mengiktiraf hampir 100 organisasi yang berada di peringkat hadapan dalam mengembangkan sektor tenaga mampan negara.
Malah, sejak empat tahun lepas, NEA menyaksikan peningkatan penyertaan daripada pihak berkepentingan Malaysia dengan lebih 645 organisasi menghantar penyertaan serta bersaing bagi merebut hadiah wang tunai bernilai RM40,000 untuk pemenang anugerah manakala RM15,000 untuk naib juara.
Di samping itu, pemenang-pemenang juga berpeluang untuk mewakili Malaysia pada Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) yang berprestij.
Kesemua penyertaan bagi NEA 2022 perlu diterima sebelum 25 Feb, 2022 dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.nationalenergyawards.com.my
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]