Berita

Tiada kenaikan tarif elektrik bagi pengguna domestik - Suruhanjaya Tenaga

Source: Facebook

KUALA LUMPUR, Jan 28 -- Kerajaan telah bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna-pengguna domestik di Semenanjung Malaysia untuk tempoh kawal selia bermula pada 1 Februari, 2022 hingga 31 Disember, 2024 di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata kadar tarif ini yang telah digunakan sejak 1 Jan, 2014 apabila mekanisme IBR diperkenalkan sebagai dasar baru dalam penetapan tarif elektrik dan keputusan itu juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri.

“Bagi tempoh 1 Julai, 2021 hingga 31 Disdember, 2021, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion, ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah US$200 per tan.

Oleh itu di bawah mekanisme mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan turut memutuskan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun, 2022. 

Ini termasuk pemberian rebat 2 sen/Kilowatt jam (kWj) dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan dan untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna pengguna domestik di Semenanjung.

Selain itu menurut ST, surcaj 3.70 sen/kWj dikenakan kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri. 

“Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, Kerajaan telah memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut,” jelasnya.

Menurut ST lagi di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat.

“Kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus dan memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59 peratus sumber penjanaan adalah arang batu.

“Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan Kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global,” katanya.

Sebagai langkah untuk meminimumkan kesan kenaikan bil elektrik disebabkan oleh surcaj ICPT,  para pengguna elektrik di Semenanjung digalakkan melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET) iaitu bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) supaya dapat menikmati pengecualian daripada surcaj ICPT elektrik untuk tempoh setahun, kata ST.

ST berkata pelanggan GET akan turut memiliki Sijil Tenaga Diperbaharui (REC) yang akan dapat membantu bagi memenuhi komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara.

Selain itu, pengguna boleh memanfaatkan Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi membantu mengurangkan kos bil elektrik, katanya.

ST berkata pengguna turut digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah penggunaan elektrik dengan cekap antaranya melaksanakan audit penggunaan tenaga, membeli peralatan elektrik yang mempunyai penarafan 5-Bintang yang memberikan lebih banyak penjimatan elektrik, memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan dan menggunakan peralatan elektrik dengan lebih cekap.

-- BERNAMA



 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]