Berita

BTM Resources memeterai perjanjian subpajakan sokong perniagaan tenaga biojisim



KUALA LUMPUR, 20 Jan -- BTM Resources Bhd bercadang untuk memajak kira-kira 2,255.33 hektar tanah hutan sekunder, Blok 10 dan Blok 11A di Kemaman, Terengganu selama 63 tahun daripada SPPT Development Sdn Bhd (SPPT) pada kira-kira RM24.7 juta.

Cadangan subpajakan itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penerokaan kumpulan dalam perniagaan tenaga biojisim, yang akan meningkatkan hasil serta pendapatannya selain mengurangkan pergantungan kepada perniagaan teras sedia ada, menurut BTM Resources dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Berikutan itu, subsidiari milik penuhnya, BTM Biomass Products Sdn Bhd (BTMBP) telah memeterai perjanjian subpajakan bersyarat berhubung penyerahan hak, kepentingan dan hak milik SPPT  ke atas tanah ladang kepada BTMBP.

Pertimbangan subpajakan tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui dana yang akan dijana melalui terbitan hak boleh lepas yang dicadangkan bersama-sama dengan waran boleh tanggal percuma (Waran-C), katanya.

Terbitan hak itu dijangka akan mengumpul antara RM60 juta dan RM88.80 juta.

Selain itu, kumpulan itu juga telah mencadangkan penubuhan dan pelaksanaan pelan insentif jangka panjang (LTIP) sehingga 15 peratus daripada jumlah modal saham terbitan syarikat untuk pengarah dan kakitangan yang layak.

LTIP yang dicadangkan terdiri daripada skim geran saham eksekutif dan skim opsyen saham kakitangan.

''Setelah selesai cadangan subpajakan yang dicadangkan, BTMBP akan menjalankan program perladangan di atas tanah ladang berkenaan dan dijangka akan menanggung jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM81.95 juta dalam tempoh program perladangan selama 34 tahun, yang bersamaan dengan purata perbelanjaan ladang secara tahunan kira-kira RM2.41 juta setahun,'' katanya.

Cadangan subpajakan itu akan membolehkan kumpulan menjalankan program perladangan untuk mewujudkan ladang Acacia mangium, yang sesuai dijadikan bahan mentah bagi menghasilkan kayu bahan api yang boleh dipakai untuk menjana elektrik daripada loji janakuasa biojisim, tambahnya.

-- BERNAMA 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]