Berita

ROVR lancar Sistem Kontena Bahan Api untuk kawasan terpencil di Beaufort



KUALA LUMPUR, 17 Jan  -- ROVR, perkhidmatan pengisian semula mudah alih daripada Petronas Dagangan Bhd (PDB) telah melancarkan Sistem Kontena Mudah Alih Mini (PCS Mini) pertamanya, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyediakan akses bahan api yang lebih mudah kepada penduduk Kampung Limbawang, Beaufort, Sabah.

PDB dalam satu kenyataan hari ini berkata PCS Mini ini direka untuk menyediakan perkhidmatan di kawasan terpencil, yang terletak 10 kilometer atau lebih dari stesen minyak, sebagai sebahagian daripada Pelan Pembangunan Luar Bandar ROVR dan program dram komuniti kementerian, yang bertujuan bagi memastikan masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada keperluan asas yang mencukupi pada harga yang sama seperti di kawasan bandar.

Dengan akses yang lebih mudah kepada bahan api pada harga pam runcit, masyarakat luar bandar akan dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan mudah, sekali gus membantu mempromosikan pembangunan usahawan berskala kecil dan meningkatkan ekonomi tempatan. 

Semasa fasa perintis bermula akhir November 2021,  PCS Mini dengan kapasiti 5,000 liter, yang beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 7 malam, telah melayani hampir 3,500 kenderaan dan mengagihkan lebih 30,000 liter bahan api setakat ini.

PDB merancang untuk memperluaskan inisiatif ini ke lebih banyak kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak dengan tapak yang mempunyai jarah sejauh 50 kilometer dari stesen minyak terdekat.

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan kementerian untuk memperkenalkan PCS Mini di Beaufort, Sabah. Pelancaran penyelesaian inovatif ini menandakan satu peristiwa penting dalam usaha kami bagi memastikan akses tenaga yang penting untuk menjana pertumbuhan sosial dan ekonomi.

"Tambahan pula, ROVR telah terbukti penting semasa krisis, berkhidmat di kawasan larangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk kawasan yang dilanda banjir, dan pelancaran hari ini mengesahkan lagi strategi kami untuk menyediakan penyelesaian perniagaan yang kukuh yang juga memenuhi keperluan masyarakat dan selaras dengan janji kami bagi menjadikan hidup anda lebih mudah serta lebih baik," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani pada majlis pelancaran yang telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menteri itu berkata pelancaran kerjasama itu adalah seiring dengan misi kementerian bagi meningkatkan jangkauan melalui usaha-usaha kemasyarakatan dengan kaedah yang sistematik, selamat dan diperkasakan masyarakat. 

ROVR memberi perkhidmatan kepada perniagaan di Lembah Klang, Pahang dan Johor dengan menawarkan penghantaran bahan api secara langsung. 

Ia juga memberi perkhidmatan kepada pemandu harian dalam komuniti yang terjejas oleh banjir serta bencana lain apabila diperlukan.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]