Berita

Harga arang batu global tinggi, beri tekanan ke atas sektor tenaga Malaysia

File Photo

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 11 Jan -- Arang batu merupakan antara sumber utama tenaga bagi penjanaan elektrik di seluruh dunia dan Malaysia mengimport sepenuhnya komoditi ini yang berperanan besar dalam skim tenaga negara.

Susulan harga arang batu global meningkat tinggi, keadaan itu memberi tekanan ke atas industri penjanaan tenaga di negara ini.

Harga arang baru melonjak untuk mencatatkan harga tertinggi pada US$270 (US$1=RM4.19) satu tan pada Oktober lepas, dan berada pada  US$203 satu tan setakat 10 Jan, 2022.

Prestasi harga itu berlaku ketika permintaan terhadap arang batu mencecah paras tertinggi pada 2021 namun bekalannya masih terhad.

Arang batu dan gas asli digunakan untuk menjana hampir 93 peratus elektrik di Semenanjung Malaysia, kos yang membentuk hampir 36 peratus daripada tarif elektrik asas pada masa ini.

Buat masa ini Malaysia masih amat bergantung kepada penjanaan tenaga daripada arang batu dan membeli sebahagian besar keperluannya dari Indonesia (63 peratus), diikuti Australia (24 peratus), Rusia (11 peratus), dan Afrika Selatan (dua peratus).

 

Bagaimana Situasi Ini Mempengaruhi Penjanaan Tenaga di Seluruh Dunia?

 

EROPAH

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), harga gas dan arang batu yang lebih tinggi di Eropah, termasuk Sepanyol dan Jerman, ditambah dengan kenaikan harga karbon Eropah, telah mendorong harga elektrik menjadi lebih tinggi.

Di Jerman, harga elektrik melonjak kepada paras tertinggi dalam sejarahnya pada minggu lepas, iaitu melebihi enam kali ganda berbanding setahun lalu.

Di Sepanyol pula, dengan penjanaan tenaga menggunakan gas berperanan besar dalam menetapkan harga elektrik maka, kenaikannya adalah lebih tinggi.

“Kenaikan harga dijangka mengakibatkan tekanan meningkat terhadap bil tenaga isi rumah dan juga menimbulkan risiko yang lebih meluas ke atas aktiviti ekonomi, terutama bagi sektor yang terdedah secara langsung kepada kenaikan harga.

“Banyak kerajaan telah mengambil langkah untuk mengurangkan bil elektrik, khususnya bagi pengguna rentan,” jelas IEA.

Pakar berkata banyak perniagaan berkemungkinan menghadapi kesan berganda akibat kenaikan kos tenaga dan potensi penurunan perbelanjaan pengguna disebabkan perbelanjaan isi rumah berkaitan tenaga meningkat.

“Kenaikan harga tenaga sebenarnya telah memberi kesan kepada operasi industri berintensifkan elektrik, dan beberapa syarikat telah mengehadkan sementara pengeluaran ammonia dan baja, berikutan margin yang semakin merosot ekoran kenaikan harga gas yang ketara,” tambahnya.

 

INDONESIA

Indonesia, pengeksport arang batu terbesar dunia, telah menggantung eksport arang batu pada 1 Jan 2022. Keputusan itu dibuat selepas pihak utiliti tenaga negara melaporkan paras inventori arang batu yang sangat rendah.

Ini menjadikan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu di ambang gangguan tenaga yang meluas dan seterusnya mendorong harga arang batu di Australia dan China meningkat lebih tinggi minggu lepas.

Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia menyifatkan larangan itu sebagai wajar bagi mengelak 20 loji jana kuasa arang batu negara itu yang berkapasiti 10,850-megawatt terjejas selain menyebabkan 10 juta isi rumah mengalami gangguan bekalan elektrik.

Laporan sebelum ini menyatakan walaupun perbincangan pegawai Indonesia berakhir pada hujung minggu, namun masih tiada sebarang keputusan membabitkan tempoh untuk menamatkan larangan tersebut.

Pihak berkuasa terbabit turut membincangkan langkah bagi mengatasi isu logistik yang menjejaskan usaha penghantaran arang batu ke loji jana kuasa domestik.

 

SINGAPURA

Republik Singapura adalah antara negara Asia yang mempunyai liberalisasi pasaran elektrik yang sepenuhnya.

Faktor seperti permintaan tenaga yang ketara berbanding biasa serta ketidaktentuan harga borong tenaga telah menyebabkan kalangan peruncit tenaga mengalami tekanan, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai aset penjanaan tenaga sendiri.

Oleh kerana tarif elektrik pengguna terikat dengan kontrak tetap, terdapat segelintir peruncit yang sebaliknya mengalami kerugian bagi setiap unit tenaga yang dijual.

Malah, ini menyebabkan lima peruncit termasuk iSwitch yang juga peruncit tenaga bebas terbesar Singapura, bertindak menamatkan operasi.

Tarif elektrik turut meningkat sebanyak 16 peratus daripada 20.76 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) pada Januari-Mac 2021 kepada 24.11 sen/kWj pada Oktober-Disember 2021.  

Bagi tempoh Januari-Mac 2022, kenaikan kos bahan api berkemungkinan menyebabkan tarif elektrik mengalami peningkatan purata 5.6 peratus daripada 24.11 sen/kWj kepada 25.44 sen/kWj.

 

FILIPINA

Tarif elektrik Filipina meningkat purata 11.7 peratus daripada 8.75 P/kWj pada Januari 2021 kepada 9.773 P/kWj dalam Disember 2021, kebanyakannya atas faktor caj penjanaan tenaga yang tinggi.

 

CHINA

Peningkatan harga arang batu yang berterusan ketika bekalan loji jana kuasa sebaliknya di paras terendah dalam tempoh 10 tahun, mencetuskan masalah bekalan yang ketara selain menimbulkan permintaan supaya gas asli dijadikan sebagai alternatif arang batu.

Masalah bekalan tenaga yang rendah telah menyebabkan kejadian bekalan elektrik terputus di negara berkenaan, menjejaskan isi rumah selain memaksa pihak kilang di negara kuasa besar eksport itu bertindak mengurangkan pengeluaran, sekali gus mengancam pemulihan China daripada impak pandemik dan menyebabkan rantaian bekalan global terganggu.

Kesan terhadap rantaian bekalan global itu masih belum dapat dipastikan setakat ini. Di wilayah timur laut seperti Heilongjiang, Jilin dan Liaonin misalnya, isi rumah mengalami masalah bekalan elektrik terputus yang berkemungkinan besar mendatangkan implikasi dasar.

 

INDIA

Pemulihan ekonomi dan peningkatan permintaan tenaga yang berkaitan, telah menyebabkan kekurangan arang batu di negara ini.

Aktiviti perlombongan arang batu domestik India yang menyumbang 80 peratus ke atas bekalan negara itu, sebaliknya tidak berupaya menampung permintaan manakala harga antarabangsa yang tinggi hanya menjadikan pilihan import sebagai tidak wajar.

Loji jana kuasa tenaga yang banyak bergantung kepada sumber arang batu bertindak sama ada mengehadkan atau menggantung operasi masing-masing manakala beberapa loji jana kuasa yang mengharapkan bekalan domestik pula mengalami masalah bekalan yang kian berkurangan.

Walaupun kerajaan India berusaha menangani masalah kekurangan tersebut, beberapa negeri telah mengalami kekurangan tenaga yang serius dan menjejaskan pengguna kediaman dan di peringkat industri.

 

Adakah Harga Minyak Yang Tinggi Menjejaskan Kestabilan Industri Elektrik Malaysia?

 

Harga arang batu serta gas asli global meningkat buat kali pertama dalam beberapa dekad selepas permintaannya melonjak di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Kenaikan kos penjanaan elektrik perlu diselaraskan dalam bentuk kadar Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT). Ini akan membolehkan syarikat utiliti meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan, membayar vendor/pengeluar tenaga bebas untuk kerja dan penjanaan bekalan elektrik mereka.

Di Semenanjung Malaysia, tarif elektrik ditentukan oleh kerajaan melalui rangka kerja yang diterima secara global yang dipanggil Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR). Ia membolehkan mekanisme ICPT membenarkan pelarasan harga bahan api bagi sektor elektrik setiap enam bulan. 

Perubahan harga bahan api untuk penjanaan elektrik ditonjolkan sebagai kadar rebat atau surcaj yang berbeza-beza. Kestabilan industri elektrik terjejas disebabkan harga bahan api yang tinggi, yang menyebabkan kenaikan kos termasuk tekanan kepada syarikat utiliti untuk menyediakan elektrik dan ini akan menjejaskan jaminan bekalan elektrik negara.

Syarikat utiliti tidak boleh diharap untuk terus menanggung kos yang tidak dijangka atau tidak terkawal (kos bahan api untuk penjanaan).

Di samping itu, dengan penutupan beberapa pencawang berikutan banjir baru-baru ini, syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) menanggung kos operasi yang tinggi dan terpaksa bekerja keras bagi memastikan keseimbangan yang betul antara kebolehpercayaan bekalan serta ketercapaian.

Para penganalisis berpendapat walaupun kesan mekanisme ICPT adalah neutral ke atas TNB, pengenaan surcaj buat kali pertama selepas tujuh kitaran rebat menunjukkan bahawa rebat ICPT tidak dapat dikekalkan jika harga arang batu dan gas terus melonjak. 

"Memandangkan kedua-dua bahan api ini adalah diimport, ringgit yang lemah berbanding dolar AS hanya akan memburukkan lagi keadaan," kata mereka. 

Mekanisme ICPT akan memastikan syarikat utiliti dan penyedia adalah neutral daripada kesan ketidaktentuan harga bahan api pasaran dan memastikan tarif yang adil serta telus dapat diberikan kepada pelanggan.

Mekanisme ini tidak akan memberi kesan kepada keuntungan jualan elektrik syarikat utiliti, sebaliknya bertindak untuk memastikan kemampanan ekonomi yang berterusan bagi sektor penting ini. 

Di Malaysia, ICPT menyediakan kaedah yang fleksibel untuk menyesuaikan harga yang menyumbang kepada sektor yang boleh terus melabur, berkembang selain, membentuk industri yang kompetitif dan cekap.

Ini bermakna harga elektrik tidak akan meningkat secara mendadak pada masa akan datang dan kos bahan api yang tidak memusnahkan masa depan industri.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]