Berita

Kadar tarif baharu elektrik dijamin tidak bebankan rakyat - Takiyuddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU, 9 Jan -- Kerajaan memberi jaminan tarif baharu elektrik yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi tahun ini sehingga 2024 tidak akan membebankan rakyat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata tarif baharu itu juga akan memberi manfaat khususnya kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara. 

“Keadaan negara sekarang yang baru pulih daripada pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi berikutan wabak itu telah menjadi pertimbangan kepada kerajaan dalam menentukan kadar tarif elektrik baharu.

“Kerajaan telah mengkaji (perkara ini) dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. Namun saya menjamin ia (tarif elektrik) tidak akan membebankan rakyat khususnya pemilik akaun domestik iaitu akaun rumah,” katanya sambil menambah tarif baharu turut melibatkan akaun industri dan komersial.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Terdahulu beliau turut menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang diwakili oleh Bendahari KEMUDI, Nor Fazlina Abdul Rahim. 

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata lebih 40,000 Ketua Isi Rumah (KIR) akan memanfaatkan rebat 100 peratus secara sekali beri  (one-off) bagi bil elektrik Disember.

“Inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini dilihat dapat meringankan beban mangsa banjir yang terkesan dalam musibah itu sejak 18 Dis lepas,” katanya.

Menurutnya kerajaan kini dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan peralatan elektrik yang bertaraf empat atau lima bintang untuk menjimatkan tenaga elektrik.

Beliau berkata pengguna harus bijak memilih peralatan elektrik yang cekap tenaga yang mempunyai label empat atau lima bintang yang diberikan penarafan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Walaupun harga agak mahal sedikit, tetapi kerajaan kita menggalakkan penggunaan peralatan elektrik kategori ini (empat dan lima bintang) dengan memberikan rebat bernilai RM200 bagi setiap isi rumah.

“Setakat ini lebih 1,100 pekedai dan peruncit yang telah disenaraikan bagi menebus rebat ini termasuk barang elektrik yang tersenarai yang boleh dilawati menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]