Berita

SAVE 3.0 tawar rebat hingga RM400 bagi pembelian alatan elektrik cekap tenaga

Energy and Natural Resources Minister Datuk Seri Takiyuddin Hassan showing five-star energy efficiency rating label during a press conference at his ministry today on Program Save 3.0 e-rebate for the purchase of energy efficiency electrical appliances.

PUTRAJAYA, 7 Jan -- Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) 3.0 menawarkan e-rebat hingga RM400 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga pada tahun ini selain lebih banyak pilihan kategori peralatan elektrik.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika melancarkan SAVE 3.0 di sini hari ini berkata pemberian e-rebat bagi pembelian peralatan elektrik berlabel empat atau lima bintang cekap tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) itu dijangka memanfaatkan 140,000 isi rumah di negara ini.

Program SAVE 2.0 sebelum ini menawarkan e-rebat sebanyak RM200 dan hanya terhad kepada pembelian penyaman udara atau peti sejuk.

Takiyuddin berkata SAVE 3.0 menawarkan lebih banyak pilihan peralatan elektrik iaitu kategori satu meliputi penghawa dingin atau peti sejuk manakala kategori dua adalah televisyen, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro atau periuk nasi.

"Penerima e-rebat bagi SAVE 2.0 adalah tidak layak untuk memohon kategori satu bagi SAVE 3.0," katanya.

Takiyuddin berkata program SAVE 3.0 dibiayai Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) yang merupakan kesinambungan daripada SAVE 1.0 dan SAVE 2.0.

Menurutnya program SAVE 2.0 mencatat penebusan 134,000 e-rebat dan penjimatan tenaga bernilai RM26.8 juta.

Beliau berkata pelaksanaan SAVE 3.0 dijangka memberi penjimatan tenaga sebanyak 153 gigawattjoule (GWj) setahun yang bersamaan dengan RM60.45 juta serta mengurangkan pelepasan 103,890 tan karbon dioksida setahun.

Permohonan SAVE 3.0 untuk warganegara Malaysia adalah terhad kepada satu akaun bil elektrik bagi pembelian dalam tahun ini yang berdasarkan kepada konsep 'first come first serve' bermula hari ini.

Dua kaedah pembelian untuk program SAVE 3.0 adalah secara fizikal dengan membawa bil elektrik ke kedai atau pasar raya berdaftar atau memohon e-rebat dan melalui dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf iaitu Shopee, Lazada dan PG Mall.

Bagi peralatan elektrik di bawah kategori satu, nilai e-rebat yang boleh ditebus untuk pembelian peti sejuk dan penyaman udara ialah RM200 manakala di bawah kategori dua, nilai e-rebat yang disediakan ialah RM200 bagi televisyen, RM200 bagi mesin basuh, RM100 bagi ketuhar gelombang mikro atau RM50 bagi periuk nasi.

Mengenai bantuan banjir Keluarga Malaysia yang menawarkan RM500 rebat kepada isi rumah membeli peralatan elektrik yang rosak disebabkan bencana itu, Takiyuddin berkata sebanyak 1,100 kedai elektrik telah berdaftar bagi program bantuan banjir itu dan senarai penerima bantuan diselaraskan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Takiyuddin berkata proses untuk program bantuan banjir itu akan dipermudahkan bukan sahaja kepada pengguna yang mendapat rebat tetapi pekedai dengan mempercepatkan tuntutan selepas hasil persefahaman dicapai dengan Kementerian Kewangan (MoF).

"Kalau satu permohonon RM500, sehari satu kedai mendapat 10 pemohon ia melibatkan RM5,000. Untuk peniaga berskala kecil dan sederhana ia akan jejaskan aliran tunai. Jadi saya beri jaminan dalam masa tujuh hari tuntutan akan disahkan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Datuk Zurinah Pawanteh) dan MoF. Itu jaminan kerajaan," katanya.

Takiyuddin berkata mereka yang telah membuat penebusan rebat bantuan banjir masih boleh memohon e-rebat program SAVE 3.0 kerana kedua-duanya adalah program rebat yang berbeza walaupun menggunakan platform sama.

"Permohonan e-rebat program SAVE hanya untuk pembelian peralatan elekrik cekap tenaga dan penebusan tersebut tidak boleh menggunakan rebat daripada bantuan banjir serta kedua-dua rebat ini mestilah melalui transaksi yang berasingan," katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]