Berita

UPM sasar jimat RM114 juta bil elektrik guna sistem solar PV



SERDANG, 6 Jan -- Universiti Putra Malaysia (UPM) menyasarkan penjimatan bil elektrik sebanyak RM114 juta menerusi pemasangan sistem solar jenis fotovoltaik (PV) untuk tempoh 25 tahun.

Naib Canselor UPM Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata projek berkapasiti 16.18 mega watt peak (MWp) itu, merupakan projek solar terbesar antara universiti awam di negara ini.

Beliau berkata kerja-kerja pemasangan di 16 tapak sekitar universiti itu akan bermula hujung bulan ini dan dijangka siap pada Julai depan.

Katanya, panel solar akan dipasang antaranya pada bahagian bumbung fakulti, masjid dan bangunan pentadbiran, selain di tasik bagi projek solar terapung iaitu Hidroponik-Aquavoltaik Bersepadu Skala Besar Pertama untuk tujuan penyelidikan antara UPM dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

"Kami akan guna pakai segala ruang yang kosong dalam UPM untuk meletakkan panel solar," katanya kepada media selepas majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) di sini hari ini.

Di bawah perjanjian itu, GSPARX Sdn Bhd, sebuah anak syarikat TNB, akan memasang sistem solar di UPM dengan kos pemasangan RM45 juta dibiayai TNB.

Menurut Mohd Roslan bil elektrik UPM yang meliputi kampus Serdang dan Hospital Pengajar, mencecah RM40 juta setiap tahun dan ia merupakan satu jumlah besar yang perlu diperuntukkan daripada perbelanjaan mengurus universiti.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapannya pada majlis itu berkata menerusi projek solar PV itu, dianggarkan antara 50 dan 60 peratus penjimatan bil dapat dilaksanakan.

"Penjimatan ini semestinya dapat membantu pihak universiti awam untuk mengekalkan kelestarian sumber kewangan, di samping boleh menggunakannya untuk perkara-perkara lain yang lebih penting," katanya dalam ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar. 

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]