Berita

PSA 2021 dorong pengilang, pengimport budayakan keselamatan elektrik dalam kalangan industri



KUALA LUMPUR, 22 Dis -- Product Safety Award 2021 (PSA 2021) anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini merupakan satu program yang dilaksanakan untuk mempromosi selain mendorong pengilang dan pengimport kelengkapan elektrik membudayakan keselamatan elektrik dalam kalangan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif ST Abdul Razib Dawood berkata ia dapat memastikan pihak industri selaku pemegang perakuan kelulusan menghasilkan kelengkapan elektrik atau mengimport produk yang selamat bagi melindungi pengguna daripada bahaya akibat penggunaan kelengkapan elektrik yang tidak diluluskan.

Beliau berkata PSA 2021 yang julung kali diadakan pada 9 Nov lepas bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan ST itu adalah selari dengan fungsi ST mengikut Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (Akta 610), iaitu memastikan aspek keselamatan pepasangan dan kelengkapan elektrik.

“PSA 2021 juga turut mengiktiraf institusi bertauliah yang telah mendidik dan mempromosikan keselamatan elektrik kepada para pelajar bagi menghasilkan orang kompeten elektrik yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkualiti di pasaran negara,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Pada majlis penyampaian anugerah PSA 2021 yang disempurnakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu, syarikat Eco Breeze Technologies dan Panasonic Malaysia Sdn Bhd memenangi anugerah Platinum, masing-masing bagi kategori pengilang dan pengimport manakala Institut Kemahiran Mara Lumut terpilih memenangi anugerah Platinum bagi kategori Anugerah Khas Institusi Bertauliah ST yang menjalankan Kursus Kompetensi Elektrik.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam PSA 2021 iaitu pengilang, pengimport dan anugerah khas institusi bertauliah ST dengan hadiah utama Platinum yang ditawarkan adalah wang tunai RM10,000, Emas RM7,000, Perak RM5,000 dan sagu hati RM1,000 berserta masing-masing menerima trofi dan sijil penyertaan.



Abdul Razib berkata sebagai penghargaan, ST membenarkan pemenang menggunakan logo PSA 2021 pada setiap kelengkapan elektrik dan segala urusan perniagaan mereka sekali gus memberi kepercayaan serta keyakinan kepada orang ramai untuk membeli di kedai mahupun secara dalam talian.

Menurut beliau lagi, ST menerima sambutan yang menggalakkan bagi penyertaan PSA 2021, namun setelah disenarai pendekkan kepada yang layak, penyertaan melibatkan 14 pengilang, 16 pengimport dan 17 institusi untuk diadili.

Sementara itu, Pengurus Besar Khidmat Pelanggan Panasonic Malaysia Sdn Bhd Ruslan Rejab berkata pemilihan syarikatnya sebagai pemenang menjadi pendorong untuk melipatgandakan usaha dalam memastikan produk yang dihasilkan menepati standard keselamatan Malaysia selain menjadikan Panasonic barangan berkualiti yang selamat digunakan pengguna.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ST yang telah menganjurkan pertandingan ini dan juga SIRIM yang banyak membantu kami membuat pengujian produk kami bagi mendapat kelulusan dari pihak ST,” katanya.

Bagi Pengarah Urusan Eco Breeze Technologies Sdn Bhd Stanley Yap, syarikatnya akan terus mencipta, mempertingkatkan kualiti dan keselamatan produk serta mematuhi taraf standard negara dan antarabangsa.

“Dengan kemenangan ini, syarikat kami berharap dapat meningkatkan kesedaran kepada setiap pekerja dan orang awam tentang pentingnya menghasilkan produk elektrik selamat selain memasarkan produk diyakini untuk semua pengguna,” katanya sambil menambah pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan tersebut.

Ketua Jabatan Elektrik IKM Lumut Mohd Yusoff Mat Saad pula berkata institut itu berbangga dipilih sebagai pemenang keseluruhan memandangkan pencalonan yang banyak daripada pusat bertauliah lain.

“Harapan kami supaya dapat menjadikan  anugerah ini sebagai pemangkin semangat untuk menyediakan pusat latihan yang lebih baik kepada semua pelajar dari segala aspek termasuk fasiliti, kemudahan, peralatan dan kelayakan pengajar,” katanya.

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]