Berita

Jumlah bekalan tenaga primer naik 2.8 peratus pada 2019 - Suruhanjaya Tenaga

Abd Razib Dawood (file pix)

KUALA LUMPUR, 13 Dis -- Jumlah bekalan tenaga primer dan penggunaan akhir tenaga tahun ke tahun bagi 2019 masing-masing meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 98,609 kilo tan minyak setara (ktoe) dan 66,483 ktoe, kata laporan Imbangan Tenaga Nasional (NEB) 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Abdul Razib Dawood berkata pertumbuhan bekalan dan permintaan tenaga tersebut juga seiring dengan pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, semua bahan api mencatat peningkatan kecuali arang batu yang merekodkan pertumbuhan negatif sebanyak 5.5 peratus berikutan penurunan import arang batu pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

“Gas asli mencatatkan bahagian terbesar sebanyak 42 peratus diikuti oleh minyak mentah, produk petroleum dan lain-lain pada 33.3 peratus manakala arang batu dan kok 21.4 peratus selain tenaga boleh baharu (RE) pada 3.4 peratus,” katanya pada sesi taklimat media mengenai NEB 2019 secara maya di sini, hari ini.

NEB merupakan rujukan data tenaga rasmi bagi Malaysia yang dikeluarkan oleh ST dan merangkumi tiga bidang utama -- bekalan tenaga, transformasi dan penggunaan tenaga bagi semua jenis bahan api termasuk gas asli, gas asli cecair (LNG), minyak mentah, produk petroleum, arang batu dan kok, elektrik dan RE.

Menurut Abdul Razib, data terbabit telah dikumpulkan daripada 60 penyedia merangkumi agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat utiliti, pengeluar/penjana tenaga bebas, penjana bersama, penjana kendiri, syarikat minyak dan gas serta pengeluar simen dan keluli.

Beliau menjelaskan, tidak semua tenaga primer boleh digunakan secara langsung dalam bentuk asas atau bahan mentah berikutan ada yang perlu melalui proses transformasi untuk ditukar kepada tenaga sekunder yang boleh digunakan dalam sistem tenaga.

“Sebagai contoh, minyak mentah dalam bentuk tenaga primernya tidak boleh digunakan secara langsung oleh pengguna. Ia sebaliknya perlu ditapis untuk ditukar kepada bahan api boleh guna seperti gasolin dan diesel yang kebanyakannya digunakan oleh kenderaan.

“Industri tenaga dan sektor pengangkutan terbukti masih menjadi pihak utama iaitu merangkumi hampir tiga perempat daripada keseluruhan penggunaan tenaga pada 2019.

“Ini diikuti oleh sektor bukan tenaga, komersial, kediaman dan pertanian dengan bahagian masing-masing sebanyak 20.5 peratus, 7.0 peratus, 5.0 peratus dan 1.4 peratus,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]