Photo: Sembcorp
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 12 Dis -- Agenda hijau seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjadi petanda positif bagi industri tenaga Malaysia yang bergerak seiring dengan peralihan global ke arah amalan bersih dan lestari.
AmBank Research, menerusi laporan penyelidikannya pada September, menjelaskan dasar-dasar akan diperkemas untuk peralihan tersebut dan ia akan merangkumi langkah mengutamakan petrol dan diesel yang dihasilkan secara tempatan, meningkatkan penggunaan bahan api bio serta merangka pelan hala tuju gas asli.
Ia turut meliputi usaha menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam industri petrokimia serta mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian strategik dalam kalangan operator minyak dan gas bersaiz kecil dan sederhana untuk melaksanakan projek sukar.
“Kami berpendapat, semua dasar ini menyokong unjuran positif kami terhadap sektor ini memandangkan aktiviti cari gali dan pembangunan oleh syarikat minyak antarabangsa pada masa ini adalah rendah.
“Ini dijangka membawa kepada kekurangan bekalan global bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kecuali perbelanjaan modal meningkat secara ketara dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” tambahnya.
Selain itu, pemintaan kian meningkat terhadap gas asli, yang merupakan bahan api peralihan, dan petrokimia sejajar dengan pemulihan ekonom global pascapandemik dan pertambahan populasi akan terus menyokong momentum pendapatan bagi sektor ini.
PELAN HIJAU PERTAMA MALAYSIA
Penolong Profesor Perniagaan dan Masyarakat, Asia School of Business, Dr Renato Lima de Oliveira berkata RMK12 merupakan perancangan ‘hijau’ pertama Malaysia, sedikit sebanyak disebabkan jurang setahun daripada tempoh asal yang ia sepatutnya dibentangkan pada Ogos 2020.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata agenda pertumbuhan hijau kini lebih kukuh dan perancangan baharu lima tahun itu memanfaatkan sentimen berkenaan.
“Pada masa sama, Kesatuan Eropah telah merancakkan strategi pengurangan karbon, membuat pendiriannya dengan cukai karbon diselaraskan sempadan bagi masa depan; dana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin bertambah besar; di samping beberapa syarikat telah mengumumkan sasaran sifar bersih menjelang 2050, termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada November tahun lepas.
“Aset jangka panjang berintensifkan karbon seperti loji jana kuasa arang batu baharu adalah liabiliti dalam dunia masa kini. Ia sepatutnya dielakkan, bukan sahaja dari sudut pendirian alam sekitar malah ia semakin hilang daya saing. Jadi, penyesuaian keutamaan ini sewajarnya disambut dengan amat baik,” katanya.
Berdasarkan rangkanya, RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diluluskan Parlimen pada 7 Okt lepas, adalah satu kenyataan berani dengan mitigasi perubahan iklim diberikan penekanan ketara.
Malaysia menyasar untuk mencatatkan neutral karbon pada 2050 paling awal dan membaik pulih sektor tenaga, pengangkutan serta penggunaan tanah.
CUKAI KARBON
Mengikut RMK12, kerajaan mengumumkan bahawa instrumen harga karbon akan diperkenalkan dalam bentuk cukai karbon dan Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS).
Kemudahan ini pada dasarnya akan menetapkan nilai atau harga ke atas pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang akan dibayar oleh pihak yang bertanggungjawab dan secara berkesan mendorong perniagaan untuk mengurangkan pelepasan agar kekal berdaya saing serta lestari.
Perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan sebaik sahaja kajian strategi pembangunan jangka panjang karbon rendah dimuktamadkan menjelang hujung 2022.
de Oliveira berkata cukai karbon secara teknikal merupakan penyelesaian terbaik untuk menggalakkan pelaburan intensif pengurangan karbon.
“Bagaimanapun, ia terbukti agak sukar dilaksanakan dari sudut politik, sebaliknya, kerajaan sering menggunakan kaedah lain untuk menggalakkan sumber tenaga yang boleh diperbaharu seperti pelepasan cukai dan lelongan solar berskala besar atau penalti ke atas pengeluaran karbon berlebihan melalui peraturan pelepasan langsung,” katanya.
Bagi membolehkan cukai karbon berjaya, penting bagi mengumpul sokongan politik yang diperlukan untuk pelaksanaannya.
de Oliveira menegaskan bahawa harga karbon yang sangat tinggi akan mewujudkan tindak balas politik pada mulanya, manakala harga yang sangat rendah tidak akan memberi kesan.
"Ia juga mungkin penting untuk menjadikan pendapatan ini neutral. RMK12 mengumumkan kajian kebolehlaksanaan mengenai harga karbon tetapi ia belum menjadi komitmen yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Profesor Madya Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pengenalan cukai karbon boleh dipertimbangkan untuk menyokong 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang diperjuangkan oleh kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Sudah tentu, pengenalan cukai sedemikian hanya boleh dilakukan dengan wacana yang betul antara pihak berkepentingan yang berkaitan dengan kesedaran dan kempen mengenainya mesti dilaksanakan," katanya.
PEMBUATAN KENDERAAN ELEKRTIK
Berdasarkan RMK12, kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pembuatan kenderaan cekap tenaga (EEV) untuk menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.
Kerajaan sedang mengkaji pakej insentif bagi menggalakkan pemilikan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakyat Malaysia, yang melibatkan pengecualian cukai jalan serta insentif melalui pulangan cukai pendapatan dan pelepasan cukai pendapatan untuk pemasangan kemudahan EV.
de Oliveira berkata pembangunan industri pembuatan EEV mungkin diterjemahkan kepada kereta mesra alam yang lebih murah daripada segi skala dan kesan rangkaian.
"Sekiranya lebih banyak kenderaan elektrik dihasilkan di Malaysia, kos unit mungkin akan turun. Ini juga akan mewujudkan insentif untuk melabur dalam infrastruktur sokongan seperti pengecas EV.
“Apabila ada lebih banyak stesen pengecas di seluruh negara, pemandu tidak perlu risau mengenai masalah jarak perjalanan atau risiko kehabisan bateri apabila membuat perjalanan lebih lama. Sekali gus, kesemua ini membantu meletakkan industri EV dalam kitaran yang baik,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]