Sarawak Utilities Minister Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom
Oleh Anasathia Jenis
KUCHING, 5 Dis -- Pembinaan projek mega empangan hidroelektrik di negeri ini seperti Bakun, Murum dan kini Baleh yang sedang dibina bukanlah sia-sia, sebaliknya ia terbukti dapat menjana pendapatan besar kepada kerajaan negeri dalam bidang eksport tenaga elektrik selain kegunaan domestik.
Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata setakat ini, sekitar 98 peratus penduduk di negeri ini sudah menerima bekalan elektrik 24 jam melalui kedua-dua empangan berkenaan dan saluran lain termasuk tenaga solar di bawah Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).
Justeru, katanya lebihan tenaga daripada empangan ini digunakan bagi menjana pendapatan kerajaan negeri dengan mengeskport sumber tenaga itu secara komersial.
Menurutnya ketika ini, Sarawak menyalurkan tenaga elektrik ke Sabah dan Kalimantan di Indonesia, selain turut mengadakan rundingan dengan Brunei bagi membekalkan sumber tenaga ke negara itu.
“Saya dengar-dengar Singapura pun memohon, jadi kalau begitu kita memerlukan penghasilan tenaga lebih besar. Jadi ia bukan satu perkara dan perancangan sia-sia kerana ia menguntungkan kerajaan Sarawak,” katanya kepada Bernama.
Kerajaan Sarawak sebelum ini mengambil alih sepenuhnya pemilikan Empangan Hidro Elektrik Bakun yang mula beroperasi pada 2011 daripada kerajaan Persekutuan bagi menjana pendapatan melalui tenaga hidro.
Bakun mampu menjana antara 1,700 Megawatt (MW) sehingga 2,110 MW, manakala Empangan Hidroelektrik Murum yang mula beroperasi pada 2015, mampu menghasilkan antara 635 MW dan 944 MW tenaga elektrik.
Pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak pula iaitu Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit yang bermula pada 2018 dijangka mampu menjana sehingga 1,285 MW dan akan memulakan operasinya pada 2026.
Stesen janakuasa ini dijangka mengukuhkan lagi usaha Sarawak mengembangkan tenaga diperbaharui bagi menampung permintaan tenaga untuk keperluan industri domestik selain eksport ke negara jiran, pada masa depan.
Sebelum ini, Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak Energy Berhad (SEB), syarikat tenaga milik kerajaan Sarawak sedang menerokai potensi empangan kuasa hidroelektrik di negeri ini bagi mendapatkan bekalan tenaga dari kuasa hidro menerusi turbin dan kuasa solar menerusi solar terapung di empangannya.
Bagaimanapun ditanya sama ada Sarawak perlu membina lebih banyak empangan hidroelektrik, beliau berkata tiada keperluan buat masa sekarang memandangkan negeri ini sudah mempunyai bekalan tenaga mencukupi.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]