Shamsul Bahar Mohd Nor
KUALA LUMPUR, 23 Nov -- Malaysia perlu mempertimbangkan hidrogen sebagai sebahagian daripada campuran tenaga memandangkan negara ini kaya dengan sumber tenaga dan sedang beralih kepada bekalan elektrik yang lebih hijau.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Tan Sri Shamsul Bahar Mohd Nor berkata Malaysia mempunyai loji jana kuasa solar berskala besar yang akan mampu menghasilkan hidrogen serta tenaga solar.
“Malah anda hanya perlu mendapatkan kira-kira tiga hingga empat jam solar, yang boleh diperoleh daripada matahari, namun dengan mengubahnya kepada hidrogen, anda boleh menggunakannya sepanjang masa.
“Jadi,di sinilah hala tuju yang Malaysia perlu teliti bukan sahaja memanfaatkan hidro seperti yang kita ada untuk elektrik, atau solar untuk elektrik namun sewajarnya meneliti hidrogen sebagai campuran tenaga supaya kita boleh simpan tenaga itu,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian semasa perbincangan panel bertajuk ‘Menguasakan Kembali Negara-Ke Arah Masa Depan Yang Mampan’ di Invest Malaysia Kuala Lumpur 2021 Siri Empat mengenai ‘Tenaga Boleh Baharu-Pengenyahan Karbon Malaysia’ yang diadakan secara dalam talian.
Shamsul Bahar berkata di peringkat global, hidrogen semakin dianggap sebagai bahan api yang berpotensi pada masa hadapan untuk mengenyah karbon dalam sektor tenaga dan ia dilihat sebagai sumber lebih bersih kerana apabila hidrogen dibakar untuk menjana tenaga, ia hanya membentuk air, tidak seperti bahan api fosil, yang mengeluarkan gas rumah hijau (GHG) yang berbahaya.
Beliau berkata menyedari potensi hidrogen sebagai satu sumber tenaga hijau, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan merangka dan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen bulan ini.
“Jadi, dengan penerapan ekonomi hidrogen, kita akan melihat lebih banyak tenaga boleh baharu digunakan atau dimanfaatkan di Malaysia...inilah usaha yang kita akan laksana untuk mengenyah karbon negara ini.
“Jika anda melihat kepada jumlah usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan, mereka berusaha menyediakan dasar, peraturan serta akta, untuk menarik penyertaan peserta industri bagi meningkatkan jumlah penggunaan tenaga boleh baharu,” katanya.
Beliau berkata pelan hala tuju itu dijangka menggalakkan pelaburan langsung asing serta pelaburan langsung domestik ke dalam penggunaan dan pelaksanaan tenaga boleh baharu di Malaysia.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]