Berita

Liberalisasi pasaran tenaga yang kolektif diperlukan untuk mengelakkan ketidakseimbangan ekosistem tenaga - MGA

Pix by Malaysian Gas Association

KUALA LUMPUR, 22 Nov -- Liberalisasi industri gas Malaysia sahaja akan mewujudkan ketidakseimbangan dalam keseluruhan ekosistem tenaga jika bahagian lain sektor tenaga tidak mengikutinya, menurut Persatuan Gas Malaysia (MGA).

Presidennya, Abdul Aziz Othman berkata persatuan gembira apabila di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan akan mengkaji semula industri bekalan elektrik, termasuk membenarkan Akses Pihak Ketiga (TPA) kepada grid, justeru berpotensi membuka pasaran elektrik.

“Pasaran gas Malaysia telah beralih kepada pasaran TPA secara berperingkat, apabila pada Januari 2022, semua gas yang disalurkan melalui saluran paip dijangka diniagakan pada harga pasaran dan atas dasar kesediaan pembeli dan kesediaan penjual,” katanya pada Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2021) anjuran MGA secara maya mulai hari ini hingga 25 November di sini.

Abdul Aziz berkata pasaran gas yang terbuka sepenuhnya menetapkan landasan ke arah industri gas asli yang mampan dan berdaya maju. 

Katanya pasaran yang berdaya maju akan menggalakkan penggunaan gas yang lebih besar, sekali gus memacu lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan dalam rantaian nilai industri gas.

Bertemakan “Role of Gas in the Pathway towards Carbon Neutral Malaysia by 2050”, MyGAS 2021 diadakan tepat pada masanya dengan krisis dalam sektor tenaga -- dengan empat sesi utama: Peralihan Tenaga Lebih Bersih Melalui Dasar Pragmatik; Peranan Gas dalam Ekonomi Rendah Karbon; Liberalisasi Pasaran Gas Penuh: Jadikannya berjaya dan Memastikan Industri Gas Berdaya Maju dan Mampan Pada Masa Depan.


Pix by Malaysian Gas Association

Beliau berkata permintaan terhadap gas asli dan gas asli cecair (LNG) di peringkat global masih kukuh dan dijangka kembali kepada paras sebelum pandemik walaupun menghadapi COVID-19 dan harga yang tidak menentu.

Abdul Aziz berkata di sebalik perkembangan itu, organisasi antarabangsa mencadangkan supaya menghentikan penerokaan lapangan gas baharu sebagai syarat untuk mencapai sasaran sifar bersih.

Ini boleh memberi impak kepada negara membangun yang bergantung kepada gas asli untuk akses tenaga dan pertumbuhan ekonomi, katanya, sambil menambah selama beberapa dekad, ia telah memacu kemajuan sosio-ekonomi negara apabila peningkatan pesat dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan pertumbuhan penggunaan gas asli.

“Berdasarkan situasi ini juga mesyuarat Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26) telah diadakan di Glasgow pada awal bulan ini dan menjelang COP26. Malaysia telah menyatakan komitmen untuk mencapai neutral karbon seawal-awalnya pada 2050,” katanya.

Malaysia sebelum ini mengumumkan RMK12 yang menggariskan beberapa inisiatif bagi tenaga termasuk gas asli.

Menurutnya, MGA juga teruja dengan pelancaran Dasar Tenaga Negara yang dapat menetapkan laluan pragmatik bagi sektor tenaga untuk beralih ke arah ekonomi berkarbon rendah.

“Usaha menyokong Dasar Tenaga Negara itu adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang dapat menetapkan landasan ke arah industri gas yang giat serta mampan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, gas asli memainkan peranan jangka panjang membabitkan aspek penyediaan akses dan keselamatan tenaga, malah turut membantu rakyat Malaysia mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Menurut Laporan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Semenanjung 2020 oleh Suruhanjaya Tenaga, gabungan tenaga lebih 21 gigawatt (GW) merangkumi tenaga baharu yang dijana oleh gas dan tenaga boleh baharu akan dimasukkan ke dalam Grid Semenanjung menjelang 2039.

Kombinasi itu dapat menyumbang ke arah mengurangkan intensiti karbon sektor tenaga sebanyak 60 peratus menjelang 2039.

Selain itu, Abdul Aziz berkata permintaan terhadap gas asli dalam sektor tenaga dijangka meningkat daripada lebih 600 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) pada 2021 kepada lebih 1,600 mmscfd pada 2039.

“Sejajar dengan komitmen kerajaan baru-baru ini untuk menghentikan pembinaan loji janakuasa arang batu baharu yang menjadi sebahagian daripada ikrar neutral karbon, Malaysia akan lebih memerlukan lagi gas asli sebagai penjanaan tenaga dan seiring dengan tenaga boleh baharu,” katanya.

“Sehubungan itu MGA mengharapkan edisi 2021 Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Semenanjung itu dapat memaparkan komitmen kerajaan terhadap arang batu dan terus mengukuhkan peranan penting gas asli dalam sektor tenaga,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, MGA juga menyedari bahawa peralihan tenaga bersih memerlukan semua jenis gas dan atas alasan itu bertindak menubuhkan Pasukan Petugas Khas Mengenai Gas Baharu Muncul baru-baru ini bagi meneroka peluang melibatkan gas seperti hidrogen dan biogas.

“Saya mempelawa syarikat-syarikat yang berfikiran sama untuk menyertai MGA dan merebut peluang bagi menyertai sesi perbincangan dan inisiatif berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]