Berita

KAB peroleh tiga projek solar di Thailand



KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Anak-anak syarikat tidak langsung Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB), KAB Gree Solar Thai Co Ltd (KABGST) dan Energy Optimisation (Thailand) Co Ltd (EOT) memperoleh tiga projek di Thailand untuk sistem solar Fotovolta Tersambung Grid (GCPV) dengan anggaran kapasiti agregat 4,537 kilowatt-puncak.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, KAB menjelaskan KABGST dan EOT telah menandatangani enam Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Aapico Ayutthaya Group of Companies (Ayutthaya), Great Glove (Thailand) Co., Ltd., dan Volcano Tec Thailand Co., Ltd. dengan anggaran nilai keseluruhan RM55.71 juta.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan KAB Datuk Lai Keng Onn berkata jumlah penjimatan serta pengurangan karbon dioksida bagi ketiga-tiga projek itu dikira bagi tempoh 25 tahun, sebagai purata jangka hayat panel solar.

“Pembangunan sistem solar untuk Aapico Ayutthaya dan Volcano Tec dijangka siap dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh permit pembinaan diluluskan.

“Projek Great Glove pula dijangka siap dalam tempoh 10 bulan dari tarikh PPA tersebut,” katanya.

Mengenai prospek kumpulan, beliau berkata KAB terus meningkatkan kapasiti tendernya dalam segmen tenaga boleh baharu di rantau Asia Tenggara, susulan terdapat ruang yang mencukupi untuk pertumbuhan dalam sektor ini.

“Khususnya di Thailand, kerajaan tempatan telah memberi komitmen untuk meningkatkan bahagiannya bagi penggunaan tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang 2037,” katanya.

Projek-projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan KAB sepanjang tempoh kontrak.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]