Berita

Industri tenaga Malaysia masih terkawal walaupun dunia sedang hadapi krisis tenaga

Credit: Malaysian Gas Association (MGA)

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 17 Nov -- Dunia sedang menghadapi krisis tenaga apabila permintaan terhadap komoditi tenaga melebihi bekalan dan ini menyebabkan turun naik dalam penetapan harga jangka pendek dengan harga semerta global untuk gas asli mencecah paras tertinggi pada tahun ini.

Bagaimanapun, impak daripada krisis tenaga terhadap Malaysia tidak membimbangkan.

Pada 5 Okt, 2021, di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan bahawa Malaysia telah menguruskan jaminan keselamatan tenaganya walaupun terdapat kenaikan harga dalam komoditi tenaga iaitu arang batu dan gas asli cecair (LNG).

Beliau menegaskan bahawa kerajaan, melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan agensi seperti Petronas, telah mengambil langkah termasuk meliberalisasikan pasaran gas negara untuk mengukuhkan lagi jaminan keselamatan tenaga negara.

Ini telah membolehkan Malaysia menampung bekalan gas dengan LNG global yang tersedia bagi memastikan jaminan keselamatan tenaga sekiranya terdapat keperluan tersebut walaupun ia mempunyai sumber gas asli asli sendiri.

 

INDUSTRI GAS MALAYSIA

 

Ekonomi Malaysia berkembang seiring dengan peningkatan penggunaan gas di negara ini. Malah, gas asli juga berperanan penting dari segi membekalkan tenaga untuk penjanaan kuasa, sekali gus mendorong pertumbuhan loji janakuasa berasaskan gas pada 1990-an dan memperluas akses tenaga bagi membangunkan ekonomi. 

Pada masa ini, industri gas Malaysia menghasilkan lebih RM135 bilion setiap tahun dan menggaji lebih 80,000 pekerja dalam ekonomi lebih meluas.

Dalam usaha menjadikan industri gas Malaysia kalis masa depan, pasaran gas telah diperbaharu untuk memperkenalkan persaingan yang akan memberi manfaat kepada pengguna di samping memastikan jaminan bekalan jangka panjang.

Liberalisasi pasaran gas yang bermula pada 2014 menyaksikan pemboleh dilaksanakan.

Ia termasuk pemansuhan subsidi secara beransur-ansur dan harga gas dibawa kepada kesetaraan pasaran, selain pindaan dibuat ke atas Akta Bekalan Gas pada 2016 untuk membolehkan pihak ketiga mengakses infrastruktur bekalan gas dan menghantar gas kepada pengguna.

Terminal regasifikasi dibangunkan terutama oleh Petronas untuk membolehkan import LNG bagi melengkapkan bekalan gas asli.

 

GAS ASLI DI MALAYSIA

 

Gas asli pernah menguasai bahagian penjanaan tenaga sebanyak 52 peratus pada 2008.

Ketersediaan bekalan gas asli kepada pusat-pusat permintaan di pantai barat Semenanjung Malaysia membolehkan pewujudan loji jana kuasa gas dilakukan secara pantas untuk menampung keperluan elektrik yang semakin meningkat bagi menggerakkan perindustrian pesat.

Bagaimanapun, susulan banyaknya loji jana kuasa arang batu yang dibina pada awal abad ini, atas alasan mempertingkatkan jaminan tenaga, telah mengubah situasi itu.

Pada 2020, bahagian arang batu dalam gabungan tenaga elektrik bagi Semenanjung Malaysia adalah hampir 70 peratus, dan menjadikan gas hanya pada 28 peratus.

Pada Oktober 2020, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah menerbitkan satu kertas dasar yang menunjukkan amalan yang tidak lestari disebabkan pergantungan kepada arang batu. 

Selain menjadi sumber bahan api yang diimport sepenuhnya, loji janakuasa arang batu mengeluarkan karbon dioksida sebanyak lebih daripada dua kali ganda berbanding loji kuasa gas. 

IDEAS selanjutnya menyeru terhadap penggunaan gas bagi mempercepatkan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui.  

Pelan Pembangunan Tenaga bagi Semenanjung Malaysia 2021-2039, yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia, mengiktiraf peranan gas asli dalam meminimumkan pelepasan karbon bagi sektor tenaga. 

Menurut pelan itu, gabungan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui dan gas asli dapat mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor tenaga sebanyak 60 peratus menjelang 2035. 

Pelan yang sama juga menyebut penggunaan gas asli dalam sektor tenaga dijangka berkembang daripada 643 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) pada 2021 kepada 1,656 mmscfd menjelang 2039.

Dalam tempoh sama, loji janakuasa arang batu kapasiti dipasang akan dikurangkan sebanyak 22 peratus. 

Pada 2021 juga menyaksikan komitmen yang lebih banyak daripada komuniti kewangan dan pemain penjanaan kuasa bagi menghentikan sebarang penglibatan dalam projek loji janakuasa arang batu yang baharu.

Maybank menyertai CIMB Bank untuk berhenti membiayai projek arang batu baharu manakala Tenaga Nasional Bhd merancang menghapuskan loji tenaga arang batu daripada portfolio mereka menjelang 2050.

Kerajaan Malaysia juga telah menyatakan komitmen untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu baharu dalam usaha beralih sebagai negara neutral karbon seawal 2050.

 

PENGGUNAAN GAS DALAM SEKTOR TENAGA 

 

Sejajar dengan pengurangan kapasiti arang batu secara beransur-ansur, kepentingan peranan gas asli dari segi penjanaan tenaga kini menjadi semakin ketara.

Ini berikutan loji janakuasa yang bersumberkan gas asli disifatkan sebagai pelengkap atau sempuna bagi menyokong tenaga boleh diperbaharui yang berubah-ubah (VRE).

Satu webinar anjuran Persatuan Gas Malaysia (MGA) baru-baru ini telah membincangkan peranan pelengkap membabitkan gas dan tenaga boleh diperbaharui.

Malah, telah banyak gesaan supaya pengurangan bahan api fosil secara secara drastik dilaksanakan, termasuk gas asli jika dunia berhasrat mencapai sasaran bagi mengekang kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius menjelang 2050.

Antara gesaan paling ketara adalah senario karbon sifar bersih oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang menyatakan bahawa medan gas pada masa ini sudah memadai untuk menampung permintaan sehingga 2050.

Bagaimanapun, krisis tenaga turut mendedahkan kelemahan dalam peralihan secara tergesa-gesa ke arah pelaksanaan VRE tanpa melibatkan persediaan yang sewajarnya.

Kalangan negara-negara sedang membangun yang mempunyai sumber gas asli masing-masing pula memerlukan bahan api tersebut untuk memperluas akses tenaga masing-masing selain memacu pembangunan ekonomi.

Pada masa sama, seiring dengan gesaan supaya matlamat mencapai karbon sifar bersih dipercepat, realitinya masih terdapat seramai 759 juta rakyat yang kekurangan akses tenaga elektrik manakala 2.6 bilion penduduk pula kekurangan kemudahan memasak dengan menggunakan sumber bersih.

Webinar MGA itu juga menekankan peranan penting gas asli dalam peralihan tenaga yang pragmatik dan saksama ke arah sifar bersih pelepasan menjelang tahun 2050.

 

PENGGUBAL DASAR, PEMAIN INDUSTRI DIGESA BEKERJASAMA

 

Dalam konteks Malaysia, penggubal dasar dan pemain industri perlu membincangkan secara kolaboratif bagaimana sebagai satu negara, kita boleh menuju ke arah tenaga bersih dan mampan pada masa yang sama menangani cabaran trilema tenaga iaitu keselamatan tenaga, ekuiti tenaga dan persekitaran.

MGA menyediakan platform wacana untuk penggubal dasar dan pemain tenaga untuk berkumpul dan meneroka penyelesaian yang saling menguntungkan melalui Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2021) akan datang, ia berlangsung dari 22 hingga 25 Nov, 2021.

Bertemakan “Role of Gas in the Pathway Towards Carbon Neutral Malaysia by 2050”, simposium dalam talian itu akan membincangkan cabaran yang dihadapi oleh industri gas secara global dan peluang yang akan dibentangkan dalam memenuhi peranannya sebagai bahan api teras dan pembolehubah dalam peralihan tenaga untuk Malaysia.

-- BERNAMA  

 

 

  

 

 

 

 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]