Pengarah Jabatan Operasi Industri ST Ir Roslee Esman
KUALA LUMPUR, 16 Nov -- Mengurus dan mengendalikan tenaga dengan lebih cekap seperti disarankan Suruhanjaya Tenaga (ST) mampu menjimatkan hingga lima peratus kos bil elektrik bulanan setiap isi rumah.
Pengarah Jabatan Operasi Industri ST Ir Roslee Esman berkata penjimatan itu melibatkan pengurangan kira-kira RM18 sebulan hingga RM222 dalam tempoh setahun.
“Ini bermakna dengan pengendalian tenaga seperti yang disarankan, pengguna boleh menjimatkan sebanyak 34 kilowatt jam (kWj) dalam sebulan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata ia boleh dilaksanakan dengan menggunakan tenaga pada kadar minimum untuk menyempurnakan sesuatu kerja atau aktiviti yang sama.
“Panduan untuk menjimatkan tenaga antaranya jangan tinggalkan peralatan elektrik dalam keadaan mod sedia termasuk televisyen dan komputer serta menutup modem internet semasa ia tidak digunakan khususnya pada waktu malam.
“Selain itu, menetapkan suhu penyaman udara kepada 24 darjah Celcius dan memastikan peralatan elektrik sentiasa dalam keadaan bersih daripada habuk serta kotoran untuk mengelakkan penggunaan tenaga yang berlebihan,” katanya.
Roslee turut menyarankan untuk menggunakan peralatan cekap tenaga yang menerima penarafan Minimum Energy Performance Standard (MEPS) serta dilekatkan dengan Label Cekap Tenaga (label bintang).
“Lebih banyak bintang dalam label, lebih cekap tenaga peralatan tersebut. Harga bagi kelengkapan elektrik cekap tenaga mungkin mahal sedikit, namun ia lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang.
“Tujuh kelengkapan elektrik dilabelkan dengan Label Cekap Tenaga ini adalah peti sejuk, penyaman udara, televisyen, kipas, periuk nasi elektrik, ketuhar gelombang mikro dan mesin basuh,” katanya sambil menambah pihaknya juga menyediakan sebuah buku panduan bertajuk ‘Jimat Tenaga, Lestarikan Alam Sekitar Untuk Masa Depan’ yang boleh dimuat turun secara percuma di laman web ST.
Jelas Roslee, selain mengurangkan bebanan bil elektrik, penggunaan tenaga dengan cekap dan selamat juga mampu memelihara kelestarian alam sekitar dengan pengurangan pembebasan karbon, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar pembebasan karbon dalam negara sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
“Seperti yang kita ketahui, sektor tenaga adalah antara sektor paling tinggi menyumbang kepada pembebasan karbon ini dari aktiviti penjanaan. Pengurangan penggunaan tenaga juga bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga pada masa hadapan yang mana sumber bahan api pada masa kini semakin berkurangan,” katanya.
Selain memilih kelengkapan elektrik dilabelkan dengan Label Cekap Tenaga, pengguna juga disarankan supaya menggunakan kelengkapan elektrik yang mempunyai logo SIRIM-ST supaya kedua-dua aspek keselamatan dan kecekapan tenaga terjamin.
Bagi keterangan lanjut dan pertanyaan berhubung penggunaan tenaga, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol ST di 1-800-2222-78, nombor telefon 03-88708500, Facebook Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia), Instagram st_malaysia, Twitter ST_Malaysia dan laman web www.st.gov.my.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]