Berita

Tiga empangan hidroelektrik TNB bersedia hadapi musim tengkujuh

TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Managing Director, Dato’ Nor Azman Mufti

KUALA LUMPUR, 12 Nov -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan persiapan awal menghadapi musim tengkujuh di tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Perak dengan mengurangkan paras air di tiga empangan skim hidroelektrik miliknya bagi menampung peningkatan kapasiti air.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Nor Azman Mufti dalam kenyataannya berkata ketiga-tiga empangan TNB di Tasik Kenyir, Cameron Highlands dan Sungai Perak kini bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat. 

“Proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan,” katanya. 

Menurut Nor Azman, empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik, malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

Kapasiti empangan TNB menakung air di huluan dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh, katanya. 

Beliau berkata air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam sungai, seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan TNB. 

Nor Azman berkata TNB turut mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik bagi meningkatkan kecekapan semua pihak yang berkenaan bertindak pada musim banjir.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air. 

Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]