Berita

Langkah Malaysia hanya benarkan eksport tenaga tidak boleh diperbaharui ke Singapura wajar



Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Terdapat kewajaran dalam keputusan kerajaan untuk hanya membenarkan tenaga tidak boleh diperbaharui dieksport ke Singapura dan tidak membenarkan penjualan kuasa persendirian.

Malaysia dijangka berpeluang mendapat manfaat menerusi pelaburan langsung asing (FDI), peningkatan peluang pekerjaan, kelebihan kompetitif dan faedah kepada pemain tempatan daripada tenaga boleh diperbaharui.  

Meskipun terdapat kritikan, namun keputusan untuk mengeksport tenaga tidak boleh diperbaharui itu adalah logik dan pragmatik kerana kelaknya ia juga akan memberi manfaat kepada rakyat dari segi gaya hidup yang mesra alam.

Tidak dinafikan bahawa tenaga boleh diperbaharui Malaysia masih berada di peringkat awal, yang bermakna kita tidak mempunyai lebihan tenaga untuk dijual kepada negara lain. (Pada 2020, penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia terdiri daripada 4.4 peratus elektrik hidro, 32 peratus gas, 61.7 peratus arang batu, 1.1 peratus tenaga solar, 0.5 peratus biojisim dan 0.3 peratus biogas)

Keputusan Malaysia itu adalah wajar memandangkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui agak mahal dan melibatkan pelaburan besar-besaran. 

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berkata dalam satu kenyataan pada 22 Okt bahawa kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula Panduan bagi Jualan Elektrik Rentas Sempadan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk memasukkan dua perkara berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan juga bersetuju bahawa caj putaran bagi penjualan elektrik ke Singapura bagi tempoh percubaan dua tahun ialah US$0.0228 (S$0.031) setiap kilowatt-sejam (kwh).

Dalam menganalisis keputusan Malaysia itu, seseorang perlu mengambil kira bahawa FDI cenderung menghala ke negara-negara yang sumber tenaganya dihasilkan daripada sumber hijau. 

Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya memberikan kelebihan kompetitif kepada orang lain dengan mengeksport tenaga boleh diperbaharui sedangkan ia terhad dan mahal. 

Nilai tambah utama adalah keputusan itu akan meningkatkan pembangunan pemain tenaga boleh diperbaharui tempatan memandangkan Malaysia berhasrat untuk mencapai aspirasi perubahan iklimnya.

Ia juga akan membolehkan kerajaan memperuntukkan kuota solar tambahan bagi memberi manfaat kepada pemain tenaga boleh diperbaharui Malaysia, sesuatu yang amat diharapkan oleh industri ketika ini. 

Selain itu, ia juga sejajar dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan Malaysia mencapai sasarannya menjadi negara neutral karbon seawal 2050.

Apa yang lebih penting, langkah itu dijangka menyumbang kepada pemulihan pasca pandemik COVID-19 dengan mewujudkan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.2 bilion dan menyediakan 3,600 peluang pekerjaan.

Semua ini jelas menunjukkan komitmen Malaysia untuk menangani pemanasan global secara berterusan seperti yang dibuktikan melalui penekanannya kepada tenaga boleh diperbaharui.

Jika amaran pada sidang kemuncak iklim COP26 di Glasgow diambil kira, negara-negara semakin kesuntukan masa dalam perjuangan mereka memerangi pemanasan global dan mengelakkan bencana global.

Berkaitan dengan perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin merupakan instrumen penting untuk mencegah peningkatan pemanasan global.

Sebagai tambahan kepada sumber konvensional yang lain, menggunakan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber elektrik adalah alternatif paling praktikal bagi mencapai matlamat ini.

Berdasarkan kepada pelan pembangunan penjanaan Malaysia pada 2020, negara dijangka mencapai 31 peratus tenaga boleh diperbaharui yang akan disepadukan ke dalam sistem menjelang 2025.

Semenanjung Malaysia dijangka menyumbang 26 peratus daripada tenaga boleh diperbaharui.

Oleh itu, adalah logik bahawa kita membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui kita dan mengekalkannya di negara kita sendiri dalam mencapai visi yang memerlukan pecutan lebih laju. 

Pada tahun-tahun akan datang, penggalakan FDI dalam tenaga boleh diperbaharui akan menjadi lebih penting.

Adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa akan ada peningkatan tekanan terhadap syarikat-syarikat agar beroperasi menggunakan tenaga hijau, contohnya dalam pembangunan pusat data.

Oleh itu, kita perlu mengekalkan tenaga hijau kita untuk menggalakkan pelaburan asing ke dalam syarikat-syarikat ini dan yang lain.

Ini adalah faktor kritikal kerana FDI akan membawa manfaat limpahan yang meluas kepada ekonomi, rakyat dan negara.

Satu lagi kelebihan keputusan Malaysia untuk hanya mengeksport tenaga tidak boleh diperbaharui adalah ia akan membolehkan pembangunan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) yang berkesan, yang juga menjadi fokus kerajaan pada masa kini memandangkan kita mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui kita sendiri.

Dalam merancang masa depan, Sistem Penjejakan Atribut Hijau Malaysia (MGATS) - pasaran nasional bagi REC, telah ditubuhkan pada Oktober 2019.

Ia merupakan platform yang membolehkan pembeli yang berminat untuk membeli REC yang dijana di Malaysia, satu komponen penting dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang mana negara boleh menjadi pusat dagangan REC.

Bagi pasaran REC terkini di Malaysia, ia dijual secara berasingan daripada elektrik.

Syarikat yang ingin mencapai matlamat kemampanan boleh memilih untuk membeli REC sebagai sebahagian daripada portfolio penyumberan tenaga boleh diperbaharui mereka.

Tidak kurang pentingnya juga adalah pembangunan tenaga boleh diperbaharui memerlukan kawasan tanah yang luas di Malaysia, yang bermakna setiap penggunaan tanah akan menjejaskan bentuk pembangunan yang lain.

Memandangkan penduduk tempatan akan mendapat manfaat daripada limpahan pembangunan itu, adalah logik bahawa rakyat Malaysia dan bukannya pihak lain yang mendapat manfaat daripada pengorbanan tanah kita bagi pembangunan sedemikian, oleh itu tenaga boleh diperbaharui perlu dikekalkan di dalam negara.

Selain itu, elektrik yang dijana daripada jana kuasa konvensional masih tersedia bagi perdagangan rentas sempadan yang akan memberikan manfaat kepada Malaysia.

Jana kuasa ini telah lama wujud dan kita memahami sepenuhnya sifat dan ciri-cirinya.

Ini akan meletakkan Malaysia di kedudukan yang lebih baik untuk menjadi pembekal tenaga yang dipercayai kepada negara-negara jiran.

Langkah Malaysia untuk tidak mengeksport tenaga boleh diperbaharui itu juga adalah disebabkan oleh peningkatan harga bahan api fosil dan pembaharuan harga kuasa arang batu yang akan membantu meningkatkan daya saing tenaga boleh diperbaharui. 

Kenaikan harga bahan api fosil pada kali ini di pasaran menjadikan kelebihan kos tenaga boleh diperbaharui malahan lebih ketara. Sementara itu, kos pengeluaran tenaga boleh diperbaharui, termasuk angin dan solar, terus menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), tenaga boleh diperbaharui menyumbang hampir 30 peratus daripada pengeluaran elektrik global pada 2020.

Secara ringkasnya, keputusan Malaysia untuk menjual hanya tenaga tidak boleh diperbaharui menunjukkan usaha gigihnya untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui bagi mencapai gabungan tenaga mampan dan melaksanakan tanggungjawabnya bagi masa depan yang lebih hijau untuk semua.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]