Berita

Inisiatif Bajet 2022 pemangkin kemajuan sektor kenderaan elektrik Malaysia - MARii



KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Langkah kerajaan melaksanakan insentif dalam memacu sektor kenderaan elektrik (EV) menerusi Bajet 2022, termasuk pengecualian sepenuhnya duti import, eksais dan cukai jualan disifatkan sebagai pemangkin bagi menjana permintaan serta pasaran kenderaan tersebut.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari menyifatkannya sebagai satu langkah penting dalam pembangunan teknologi serta aktiviti perniagaan tempatan berkaitan EV.

Beliau berkata, peralihan industri ke arah EV juga melangkaui usaha memperkenalkan model-model kenderaan elektrik kerana memerlukan transformasi penuh industri dan operasi pentadbiran, termasuk penjanaan tenaga, infrastruktur pengecasan, rangkaian perkhidmatan servis kenderaan, ketersediaan alat ganti dan pembangunan modal insan berkaitan.

"Walaupun Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) telah menangani isu-isu ini menerusi rangka kerja strategiknya, aspek penting usaha itu adalah permintaan pengguna terhadap (keperluan) gaya hidup berteraskan elektrik yang dizahirkan menerusi insentif-insentif di bawah Bajet 2022.

"Selaku agensi teknikal bagi pembangunan sektor automotif dan mobiliti secara keseluruhannya, MARii juga sedang dalam proses meningkatkan usaha menerusi pelbagai inisiatif yang telah dimulakan jauh lebih awal sebelum pengumuman NAP 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, pelbagai piawaian dan kawal selia turut diwujudkan bagi EV, termasuk aspek keperluan keselamatan bagi aspek kenderaan elektrik itu di jalan raya.

Ini termasuk piawaian bagi komponen baharu EV seperti penyambung, sistem pengecasan, soket, ujian bateri lithium-ion serta piawaian bagi menggalakkan aspek penukaran bateri, pengecasan tanpa wayar selain kitar semula dan pelupusan bateri.

Menerusi MARii juga, kerajaan telah bertindak merangka strategi membangunkan pembuatan dan penggunaan bateri tempatan bersama pembangunan Sistem Pengurusan Bateri dan Sistem Pengurusan Terma, kajian kebolehlaksanaan teknologi sel bahan api hidrogen, pembangunan komponen kritikal dalam pembuatan EV serta penerapan konsep 'well-to-wheel' dalam pengiraan pelepasan EV.

Madani berkata, selain itu, Pusat Saling Boleh Kendali EV (EVIC) -- pusat perkongsian ujian bagi pembangunan EV dan produk serta sistem berkaitan EV akan turut ditubuhkan.

"Butiran lanjut mengenai EVIC tersebut akan diumumkan oleh MARii atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata MARii turut bekerjasama dengan pelbagai pengeluar kereta, pihak terbabit dalam pemasangan motosikal, pembuat kenderaan komersial, penyedia pusat pengecasan dan pengeluar komponen tempatan dari segi pelbagai aspek pembangunan ekosistem lengkap untuk EV.

Menurutnya, ini termasuk menyaksikan penubuhan beberapa pusat kecemerlangan seperti Pusat Reka Bentuk dan Akademi Teknologi MARii yang berperanan sebagai keutamaan bagi mempertingkat keupayaan huluan dalam ekosistem Malaysia.

-- BERNAMA 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]