Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
KUALA LUMPUR, 10 Nov -- Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri sedang merangka Dasar Tenaga Negara bagi memastikan aspek berkaitan bekalan elektrik negara mampu menampung keperluan pengguna kenderaan elektrik (EV) selain sektor perindustrian dan isi rumah.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu Dewan Rakyat hari ini, keperluan penggunaan tenaga negara itu perlu diberi perhatian serius dari segi peralihan kepada kenderaan EV atau kenderaan cekap tenaga (EEV) bagi menggantikan kenderaan yang dijana secara enjin pembakaran dalaman (ICE).
“EPU sedang merangka dasar tenaga negara untuk memastikan bekalan yang mencukupi dan peralihan kepada EEV dan industri EV ini perlu dibuat secara berhati-hati.
“Antara langkah yang kerajaan lakukan sekarang ialah menggalakkan pengeluaran dan pemasangan EEV yang turut merangkumi elektrik dan hibrid,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) mengenai strategi khusus kerajaan untuk menarik pelaburan dalam sektor pengilangan komponen EV, tumpuan terhadap kenderaan hibrid dan elektrik berbanding EEV.
Menjelaskan selanjutnya, Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga perlu mengatur strategi untuk menarik pelaburan khususnya dalam pemasangan komponen-komponen berkaitan kenderaan atau industri EV yang selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
“NIA diluluskan pada April tahun ini dengan keutamaan untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti bagi mewujudkan pekerjaan bagi anak-anak tempatan.
“Alhamdulillah, selari dengan NIA, pada tahun ini sebuah syarikat Repulik Korea telah melakukan pelaburan bernilai RM4.24 bilion di Sabah untuk mengeluarkan kerajang tembaga bagi tujuan pembuatan dan pengeluaran bateri kenderaan EV. Inilah antara langkah awal yang berjaya kita laksanakan,” katanya.
Selain itu, menjawab soalan tambahan Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai rakan usaha sama membangunkan EV di Malaysia, beliau berkata usaha itu tidak hanya melibatkan dasar kerajaan sebaliknya perlu mendapat sokongan pihak swasta dan pembangunan infrastruktur.
“Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air juga sedang meneliti pembinaan infrastruktur baharu bersama pihak swasta iaitu termasuk stesen pengecasan.
“Selain itu, menerusi misi dagangan ke Eropah baru-baru ini, kita turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat pembuatan kenderaan besar dunia yang sedang beralih untuk memperkenalkan teknologi EV.
“Salah satu syarikat itu juga telah mengumumkan untuk melabur di Gurun, Kedah, dalam masa terdekat yang memberi peluang untuk kita mendekati teknologi terbabit yang rancak dijalankan,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]