Berita

Bekalan eletrik melalui tenaga baharu boleh kurangkan pelepasan GHG



KUALA LUMPUR, 4 Nov  -- Pelepasan gas rumah kaca (GHG) atau karbon dioksida boleh dikurangkan dengan mengutamakan penghasilan bekalan elektrik menggunakan tenaga boleh baharu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Beliau berkata pelepasan GHH juga boleh diminimumkan dengan menggalakkan penggunaan kenderaan tidak berasaskan pembakaran dalaman menggunakan bahan api fosil (ICE).

"Penggunaan bahan buangan seperti sampah, sisa industri dan pertanian sebagai bahan boleh guna semula dalam kerangka ekonomi kitaran juga harus diutamakan dalam mengurangkan pelepasan GHG.

“Di samping tidak menukar guna tanah daripada perhutanan kepada yang lain hingga menyebabkan peningkatan pelepasan GHG dan pengurangan keupayaan carbon offsetting," katanya dalam ulasan mengenai GHG yang dimuatnaik di laman Facebook rasminya.

Menurut Zaini, pengutamaan langkah-langkah berkenaan perlu sebagai menyokong Perjanjian Paris 2015 yang dimeterai untuk mengehadkan pelepasan GHG dengan berpandukan matlamat pembangunan lestari secara saksama berdasarkan kemampuan setiap negara.

Katanya, sebelum pemeteraian perjanjian itu, Kerangka Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC) dan Protokol Kyoto sudah dibentuk, masing-masing pada 1992 dan 1997 bagi membahaskan isu pelepasan GHG, yang menyebabkan peningkatan suhu bumi 1.1 darjah Celcius berbanding pada era sebelum bermula Revolusi Industri.

"Pada asasnya pelepasan GHG (dalam unit ton setahun per kapita) berkadaran dengan pendapatan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Ini bermaksud semakin tinggi pendapatan sesebuah masyarakat (tidak terhad kepada negara maju) maka semakin tinggi permintaan dalam bentuk perkhidmatan, barangan dan ‘keperluan’ dibekalkan menggunakan tenaga dan sumber lain menghasilkan GHG seperti karbon dioksida, metana dan nitrus oksida," katanya. 

Zaini berkata pelepasan GHG paling ketara dalam sektor tenaga hingga 80 peratus meliputi bekalan elektrik, kenderaan dan proses tenaga lain bersumber tenaga berasaskan bahan api fosil terutamanya minyak, gas dan arang batu, manakala 20 peratus lagi daripada proses perindustrian, sisa dan amalan pertanian, penukaran guna tanah dan sebagainya. 

Katanya setakat ini, negara- negara kaya paling banyak melepaskan GHG ialah Negara Teluk kerana penduduknya menggunakan pelbagai perkhidmatan dan barangan berteraskan tenaga dan kenderaan.

"Negara-negara miskin, khususnya dalam kancah peperangan pula melepaskan GHG paling sedikit per kapita berbanding negara-negara berpendapatan sederhana. Malaysia dan China terangkum dalam kelompok negara upper middle income," katanya.

-- BERNAMA 

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]