Berita

Amaran banjir: TNB keluarkan panduan keselamatan elektrik kepada orang ramai



KUALA LUMPUR, 3 Nov  -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan beberapa panduan keselamatan elektrik kepada orang ramai susulan jangkaan berlaku musim tengkujuh yang membawa hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula bulan ini hingga awal Januari depan.

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan panduan itu antaranya orang ramai dinasihatkan agar menghindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan memastikan suis utama ditutup sekiranya kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat.

"Langkah ini bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku. Selain itu, hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB CareLine sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan segera di kawasan terlibat," menurut kenyataan itu.

TNB juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam banjir walaupun ia bersalut dengan penebat serta menyimpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat supaya tidak ditenggelami atau terkena banjir.

TNB memaklumkan ketika banjir di tempat awam pula, orang ramai harus menghindari daripada menghampiri atau menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik.

Mereka juga diingatkan supaya mengelakkan kawasan yang mempunyai talian elektrik terutamanya pada waktu malam memandangkan tahap penglihatan adalah kurang baik supaya tidak tersentuh talian serta tidak sesekali menggunakan tangga atau galah berhampiran dengan talian elektrik.

"Selepas banjir, pastikan suis utama pada papan agihan telah ditutup sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah. Pastikan suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam banjir diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula.

"Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak supaya tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau kabel elektrik yang putus semasa banjir," menurut kenyataan itu.

Menurut TNB, pengguna boleh menghubungi syarikat itu sekiranya ternampak kejanggalan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir melalui talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine.

Isnin lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan dalam tempoh musim tengkujuh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir sekiranya berterusan untuk tempoh beberapa hari.

-- BERNAMA 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]