Berita

Pengecualian sepenuhnya duti import, duti eksais, cukai jualan bagi kenderaan elektrik



KUALA LUMPUR, 29 Okt  -- Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan berkenaan, di samping pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian, dan pemasangan; sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

“Kerajaan melihat potensi EV yang memliki ciri-ciri kenderaan jimat tenaga sebagai usaha meminimum pencemaran asap kenderaan ke udara,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Itu antara strategi pertama di bawah fokus ketiga dalam Bajet 2022 untuk mengukuhkan Agenda Kelestarian Negara, di mana bajet kali ini juga dijajarkan kepada ‘green budgeting’ bagi beralih ke arah pelaksanaan projek dan program pembangunan bersifat mesra alam.

Selain itu, Tengku Zarful berkata inisiatif Pasaran Karbon Sukarela akan dilancarkan di bawah kendalian Bursa Malaysia, bagi memenuhi sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon.

Jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Peralihan Kepada Rendah Karbon dengan nilai dana RM1 bilion secara padanan dengan dana yang setara daripada insititusi kewangan peserta untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan amalan lestari dan rendah karbon.

Sementara itu, kerajaan menyediakan RM450 juta kepada pelbagai kementerian untuk melaksanakan beberapa inisiatif berkaitaan alam sekitar dan biodiversiti, antaranya projek pemeliharaan alam serta projek pemuliharaan alam menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka.

Beliau berkata inisiatif lain adalah program memperkasa penglibatan komuniti tempatan, veteran tentera dan Orang Asli; pemberian bantuan bagi kos operasi zoo, usaha meningkatkan pembiakan Harimau Malaya dan pelaksanaan program ‘Frozen Zoo’.

Kempen penanaman 100 juta pokok dan geran sokongan bagi menyokong Tabung Hidupan Liar Sedunia, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysi serta Rakan Alam Sekitar juga antara inisiatif berkenaan.

Tengku Zafrul juga mengumumkan peruntukan ‘Ecological Fiscal Transfer’ (EFT) berjumlah RM70 juta setiap tahun kepada semua negeri dan mekanisme pelaksanaannya diperkukuh melalui kriteria ekologi berasaskan keberhasilan.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata RM100 juta akan terus disediakan secara geran padanan, dengan sumbangan Yayasan Hasanah milik syarikat berkaitaan kerajaan (GLC) kepada badan bukan kerajaan untuk membiayai pelbagai program sosial, membantu golongan rentan dari segi pendidikan, penjanaan pendapatan dan kesihatan mental.

Kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengeculian cukai ke atas semua pendapatan perusahaan sosial sehingga tiga tahun taksiran, berdasarkan kepada tempoh sah laku akreditasi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama Akreditasi.

Selain itu, beliau berkata Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan akan diperluaskan kepada semua kementerian mulai tahun hadapan; memperuntukkan RM14 juta kepada Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu; cuti tanpa rekod maksimum lima hari setahun sebagai galakan kepada penjawat awam untuk turut serta menyumbang tenaga dalam khidmat masyarakat.

Katanya, kerajaan akan menerbit Sukuk Kelestarian sehingga RM10 bilion untuk disalurkan kepada projek sosial atau mesra alam yang layak.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]