Berita

Bas elektrik di Wangsa Maju bermula 1 Nov - Shahidan



KUALA LUMPUR, 28 Okt -- Perkhidmatan bas percuma GoKL akan mengaplikasikan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) sebagai usaha ke arah pengurangan karbon di ibu negara menjelang 2030.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sebagai perintis, sebuah bas elektrik akan mula beroperasi di Wangsa Maju 1 Nov ini iaitu perintis kepada perbandaran sifar karbon pertama di Kuala Lumpur.

"BEV merupakan satu pelan tindakan yang akan dilaksanakan secara bersasar di sekitar Kuala Lumpur. 

"Sejajar dengan itu, reka bentuk dan warna balutan luar turut diperbaharui dengan membawa tema hijau yang dilihat ke arah gaya hidup lebih sihat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bas Elektrik dan Laluan Baharu Bagi Perkhidmatan Bas Percuma GoKL di sini hari ini.

Shahidan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan penggunaan BEV sepenuhnya di semua laluan perkhidmatan bas percuma GoKL pada awal 2023.

"Bilangan bas elektrik ini akan ditambah secara berjadual dari semasa ke semasa dan sebuah bas elektrik mampu melengkapkan perjalanan sehingga 250 kilometer (km) untuk sekali pengecasan," katanya.

Pada masa sama, Shahidan berkata perkhidmatan bas percuma GoKL turut memperkenalkan dua laluan baharu iaitu laluan Hijau Serindit dan laluan Kelabu bermula 1 Nov ini.

"Laluan Hijau Serindit sepanjang 13.8 km ini akan bermula dari Hab Transit Aliran Massa (MRT) Terminal Maluri ke Bandar Sri Permaisuri manakala Laluan Kelabu sepanjang 16.7 km pula akan bermula dari MRT Cochrane ke Bandar Tun Razak.

"Dua laluan baharu ini diwujudkan bagi memberi penumpang membuat banyak pilihan dengan melakukan pertukaran mod pengangkutan daripada bas kepada penggunaan rel," katanya.

Beliau berharap agar perkhidmatan bas percuma itu dapat mengurangkan beban kehidupan warga kota dan kesesakan jalan raya di samping merealisasikan bandar raya bebas karbon serta sihat didiami pada masa hadapan.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]