Berita

Penanaman semula di kawasan projek Empangan Hidroelektrik Tekai Tembeling giat dijalankan

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin

KUANTAN, 19 Okt -- Kerja-kerja penanaman semula pokok di kawasan projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Tekai Tembeling, Jerantut, dekat sini sedang giat dijalankan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan apabila Kerajaan Persekutuan membatalkan projek empangan tersebut pada 8 Nov 2019 iaitu lima tahun selepas kerja-kerja persediaan pembinaan empangan dilakukan.

"Justeru, ingin ditegaskan bahawa pembatalan projek ini adalah selepas lima tahun kerja-kerja persediaan pembinaan empangan dijalankan, jadi semestinya kerja-kerja ini meninggalkan kesan seperti yang digambarkan," katanya menerusi kenyataan media yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini. 

Menurutnya, kerajaan negeri amat komited dalam pemuliharaan hutan tersebut dan pada 25 Mac lepas, pihaknya telah menandatangani Perjanjian Penghutanan Semula bersama sebuah syarikat swasta bagi menanam semula pokok di kawasan tersebut.

"Kerja-kerja penanaman semula sedang giat dijalankan. Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi ingin menyatakan komitmen terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negeri ini," katanya.

Portal berita tempatan sebelum ini melaporkan projek berkenaan merupakan antara enam projek jana kuasa elektrik yang dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Laporan itu turut menyebut tindakan itu mungkin sudah terlambat kerana gambar satelit menunjukkan kemusnahan hutan di kawasan projek tersebut iaitu di Hutan Simpan Tekai, Pahang.

Mohd Sharkar berkata, kerja-kerja pembalakan untuk penyediaan projek itu telah dijalankan secara berperingkat melibatkan kawasan seluas 9,896.6 hektar.

Menurutnya pemakluman berhubung pembatalan projek itu telah dihantar kepada Suruhanjaya Tenaga pada 29 Nov tahun yang sama, manakala Tenaga Nasional Berhad mengeluarkan surat pemakluman pembatalan projek pada 8 Jan 2020.

Beliau menambah kelulusan berhubung pembinaan projek itu diperoleh pada 19 Mac 2012, diikuti dengan kelulusan teknikal daripada Suruhanjaya Tenaga (2 Julai 2012), Penilaian Terperinci Impak Alam Sekitar (20 April 2016) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (27 Dis 2016).

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]