Berita

TNB sokong agenda perubahan iklim, teknologi hijau negara

Tenaga Nasional Berhad (TNB) chairman Datuk Seri Hasan Arifin

KUALA LUMPUR, 12 Okt -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong penuh pendirian kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim dan teknologi hijau negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Pengerusi TNB Datuk Seri Hasan Arifin dalam kenyataan berkata TNB telah mengambil tindakan proaktif dengan mengumumkan hala tuju kelestariannya dalam usaha meminimumkan kesan peningkatan pelepasan gas rumah kaca (GHG) ekoran aktiviti manusia. 

“Di bawah hala tuju ini, kami (TNB) telah menetapkan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam Perdana Menteri mengumumkan matlamat Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2030 iaitu 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini dan pengurangan intensiti itu dibuat tanpa syarat.

Menurut Perdana Menteri perkara itu akan menjadi pendirian Malaysia yang bakal dibentangkan semasa Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland dari 31 Okt hingga 12 Nov.  

Mengulas mengenai matlamat TNB untuk mencapai pelepasan sifar bersih, Hasan berkata aspirasi itu dipacu komitmen mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan tenaga menerusi arang batu menjelang 2035.

Beliau berkata ia adalah pelan strategik rendah karbon untuk menyumbang kepada kehidupan yang lebih sejahtera sejajar komitmen masyarakat dunia melindungi bumi dengan memastikan semua orang menikmati kesejahteraan. 

Sementara itu Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata TNB komited memastikan pendapatan daripada loji arang batu tidak melebihi 25 peratus daripada keseluruhan pendapatannya dan antara langkah diambil ialah meningkatkan peruntukan dalam penyelidikan dan pembangunan berkaitan tenaga boleh baharu (RE).

“Pada awal tahun ini pula, kami telah menyatakan komitmen untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu selepas Stesen Janakuasa Jimah East Power, di Port Dickson, yang mula beroperasi pada 2019. 

“Kami akan bekerja bersama-sama dengan pihak kerajaan dan semua pihak yang berkaitan sebagai satu usaha tindakan bersama seluruh negara ke arah mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih ini,” katanya. 

-- BERNAMA 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]