Berita

Pelepasan cukai, insentif penting untuk rancakkan penggunaan tenaga bersih



Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 12 Okt -- Penguatkuasaan sekatan pergerakan yang berpanjangan berikutan kemelut pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada industri tenaga, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memainkan peranan penting sebagai penyokong utama kepada pertumbuhan sektor ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama kumpulan Plus Xnergy Holding Sdn Bhd Ko Chuan Zhen berkata syarikat itu yang menyediakan penyelesaian tenaga bersih untuk kediaman dan perniagaan,  berhadapan dengan cabaran dalam proses dan pemerolehan bekalan yang seterusnya telah menjejaskan penghantaran dan garis masa kerana langkah-langkah pengekangan COVID-19.

Namun, syarikat berkenaan masih mencatatkan permintaan untuk tenaga solar berikutan sambutan luar biasa daripada skim pemeteran tenaga bersih (NEM)nya iaitu NEM NOVA, bagi sektor komersial dan perindustrian yang menyaksikan pengambilan 100 peratus hanya dalam tempoh tiga bulan selepas pelancaran skim itu.

Untuk mencapai pemulihan sektor tenaga boleh diperbaharui, Ko mencadangkan agar kerajaan menerusi Bajet 2022  meneliti pengecualian cukai atau insentif yang serupa dengan pelepasan cukai RM2,500 yang disediakan bagi pembelian buku, jurnal dan peranti teknologi peribadi, untuk menggalakkan penggunaan teknologi bersih dalam kalangan isi rumah.

Secara keseluruhan terdapat 3.2 juta rumah di atas tanah (landed) di Malaysia yang merupakan pengguna tenaga solar yang berpotensi dan boleh membawa negara menghampiri matlamat mampan atau lestari.

Ko seterusnya menyatakan kehadiran penyelesaian solar pengguna yang mampu milik/berpatutan telah meningkatkan daya maju isi rumah menggunakan tenaga boleh diperbaharui. Pelepasan cukai akan membantu meningkatkan kadar penggunaan.

 

Penggunaan Tenaga Diperbaharui (RE) yang Perlahan

Kos pendahuluan untuk pemasangan tenaga solar atau bersih sering menjadi penghalang utama, sama ada untuk individu atau perniagaan dan itu sebabnya penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) agak perlahan untuk tersebar secara meluas.

Ko menyarankan skim pembiayaan mikro yang disokong oleh kerajaan sebagai langkah berpotensi, yang memberikan pinjaman ansuran mudah kepada kedua-dua perniagaan dan isi rumah untuk mengguna pakai tenaga solar.

"Skim seumpama itu penting terutamanya untuk penduduk Sabah/Sarawak yang berhadapan dengan ketidakstabilan bekalan elektrik dan voltan -  menyebabkan bekalan yang tidak dapat diramalkan dan kerosakan peralatan isi rumah.

"Salah satu cara untuk menghindarinya adalah dengan bergantung kepada tenaga yang boleh diperbaharui, dan masyarakat miskin yang terjejas untuk akses kepada bekalan elektrik akan mendapat banyak manfaat daripada ini," katanya.

Ko berkata pembiayaan mikro tenaga bersih boleh menjadi kondusif bukan hanya untuk perniagaan yang amat bergantung kepada bekalan elektrik tetapi  juga kepada kawasan kediaman yang menggunakan sumber tenaga konvensional.

Pembiayaan mikro menyediakan pinjaman ansuran mudah kepada isi rumah berpendapatan rendah, justeru, ia boleh membantu meningkatkan kualiti hidup mereka, tambahnya.

Dalam Kenyataan Pra-Belanjawan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada akhir bulan Ogos, strategi cukai akan merangkumi insentif dan pengecualian cukai untuk sektor perniagaan tertentu yang terjejas seperti pembuatan.

Ko berkata insentif yang serupa juga harus diberikan kepada firma atau syarikat RE yang memainkan peranan penting dalam agenda kelestarian global yang lebih besar.

"Kami ingin mengesyorkan agar pengecualian cukai ini diperluas kepada peserta industri tenaga boleh diperbaharui untuk memacu industri ini. Malah, dana boleh disalurkan ke arah meningkatkan kelangsungan perniagaan dan mendorong penggunaan tenaga RE," katanya.

 

Pengecualian Cukai untuk Panel dan Inverter Solar 

Langkah lain yang benar-benar dapat memperlihatkan perbezaan ialah pengecualian cukai jualan untuk panel dan inverter yang diimport kerana pemasangan solar sangat bergantung pada panel dan inverter yang diimport.

Sebagai sebahagian daripada tarif import Malaysia, import barang dikenakan cukai tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus, bergantung pada sifat satu-satu produk itu.

"Memandangkan kos pendahuluan yang tinggi bagi pemasagan solar, cukai-cukai ini pastinya membebankan bakal pengguna kerana ia adalah kos untuk setiap pemain solar di pasaran. Sebagai strategi jangka panjang, cukai untuk panel dan inverter solar itu boleh dikecualikan oleh kerajaan bagi menggalakkan lagi penggunaan,” jelas Ko.

Sementara itu, Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan bagi Perkhidmatan Teknologi Hijau (GITE) bakal berakhir pada 2023 dan Geran Automasi Pintar (SAG) pula '’dihentikan seketika” menurut laman sesawang kerajaan.

"Kami amat berharap GITA dan GITE dilanjutkan kerana kedua-duanya telah terbukti berjaya menggalakkan penggunaan yang lebih luas dalam kalangan perniagaan kerana penjimatan kewangan yang sangat ketara.

"Pembaharuan semula geran SAG dengan dana baharu juga sangat dialu-alukan untuk meningkatkan kadar automasi dan digitalisasi yang didorong oleh geran ini. Geran berkenaan disalurkan kepada industri pembuatan dan perkhidmatan," tambah beliau.

 

Petronas dan Pemulihan Harga Minyak

Penolong Profesor, Perniagaan dan Masyarakat Asia School of Business Dr Renato Lima de Oliveira berkata pemulihan harga minyak yang ketara pada tahun 2021, berserta harga gas yang tinggi, akan membantu kerajaan Malaysia mengumpulkan lebih banyak cukai dari sektor ini pada tahun 2021 dan juga pada tahun 2022.

Namun begitu, adalah penting untuk mengelakkan penipisan kapasiti pelaburan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan kerap meminta dividen khas.

"Perbendaharaan negara harus menjalankan tanggungjawabnya dengan cara menaikkan cukai, atau melaksanakan beberapa pengurangan kos atau menerima tahap hutang yang lebih tinggi terutama dalam masa-masa mencabar seperti sekarang,” katanya kepada Bernama.

Minyak mentah telah pulih daripada kejatuhan teruk tahun lepas di tengah-tengah pengurangan pengeluaran daripada kumpulan pengeluar OPEC dan pemulihan ekonomi global yang telah meningkatkan permintaan.

Pada 28 Sept, minyak Brent telah melonjak melepasi paras US$80 setong.

De Oliveira menambah Petronas bersaing di peringkat antarabangsa dan juga perlu bersedia untuk peralihan tenaga, justeru, adalah penting kapasiti pelaburannya dipelihara agar dapat terus memperoleh dividen yang mampan.

Menyentuh mengenai industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), de Oliveira menjangkakan peruntukan disediakan bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 dalam belanjawan tahun depan seperti pemudahcaraan pembiayaan dan eksport selain geran penyelidikan dan pembangunan.

Rancangan kerajaan untuk mengembangkan sektor ini telahpun dilancarkan pada April lepas yang diselaraskan oleh Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia.

- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]