Berita

Solarvest peruntuk dana RM1 juta untuk SIL 2021



KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Solarvest Holdings Bhd (Solarvest) memperuntukkan RM1 juta untuk Makmal Inovasi Solarvest 2021 (SIL 2021), sebuah program pemula niaga untuk memacu inovasi dan pembangunan keusahawanan dalam tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan teknologi kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Davis Chong Chun Shiong berkata program itu terbahagi kepada dua pusingan pembiayaan, iaitu modal teroka bagi syarikat pemula niaga dengan idea perniagaan bernas yang belum lagi dikomersialkan serta mempercepatkan pendanaan.

"Usaha sama yang berjaya akan menerima modal teroka berjumlah RM10,000 untuk membuktikan sebuah konsep dalam tempoh enam bulan dan calon layak untuk menyertai sesi persembahan idea perniagaan seterusnya.

"Selepas idea berkenaan terbukti dapat dilaksanakan, mereka berpotensi menerima dana berjumlah RM100,000 sebagai pertukaran peratusan pemilikan tertentu dalam syarikat itu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran secara maya SIL 2021, hari ini.

Beliau berkata SIL 2021 juga akan menyediakan bengkel perniagaan khas, bimbingan perniagaan dan tempat kerja fizikal.

Chong berkata perniagaan yang sudah mempunyai pembuktian konsep akan dikecualikan daripada pusingan modal teroka untuk memohon dana itu secara langsung.

"Kemudahan bukan dalam bentuk tunai dengan pusingan sebelumnya akan ditawarkan dengan objektif pelaksanaan idea dan membawa produk atau perkhidmatan ke pasaran dalam tempoh 12 bulan.

"Selain itu, Solarvest akan membantu dalam mengumpul lebih dana dan permohonan geram lain yang relevan dan membantu syarikat itu dengan memanfaatkan jaringan perniagaannya yang luas," katanya.

Terdahulu, Chong dalam ucapannya berkata syarikat pemula niaga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang tidak hanya untuk sektor masing-masing tetapi juga kepada ekonomi nasional secara keseluruhan.

"Mereka seringkali menjadi individu yang menghasilkan idea perubahan dan transformasi namun akibat kekurangan sumber kewangan dan pengetahuan perniagaan menjadi penghalang kepada syarikat pemula niaga maju ke tahap seterusnya,” katanya.

Melalui SIL 2021, kumpulan itu akan membantu syarikat pemula niaga mengatasi rintangan tersebut dan sebagai mentor dan pelabur, Solarvest yakin dengan kemampuannya untuk merapatkan jurang antara idea hebat dan pelaksanaan yang dapat dipasarkan, kata Chong.

"Solarvest juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Telekom Malaysia Bhd, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan OCBC Bank (M) Bhd untuk mempercepatkan agenda hijau negara dan revolusi digital melalui pencarian idea inovatif," katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]