Berita

Bekalan elektrik, air di KRC dijangka dilengkapkan dalam tempoh setahun - MB Kedah

Kedah Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR, 5 Okt -- Kerajaan Kedah mensasarkan supaya semua keperluan teknikal dan utiliti termasuk bekalan elektrik dan air bagi tapak projek Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap disediakan dalam tempoh setahun.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara itu perlu diusahakan secepat mungkin bagi memenuhi keperluan pelabur-pelabur yang akan beroperasi di kawasan industri 

“Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa tempoh lima tahun diperlukan untuk masukkan bekalan elektrik dan air tetapi kami minta (pihak yang berkaitan) mempercepatkannya kepada dua tahun setengah. Namun, kali ini dengan segala daya upaya kita mohon tempoh setahun.

“Kerajaan negeri juga berharap supaya proses pengambilalihan tanah juga dapat diselesaikan dalam tempoh sama. KRC ini tentu akan membawa limpahan besar terhadap ekonomi penduduk dan daerah Padang Terap,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid di Wisma Darul Aman di sini.

Muhammad Sanusi berkata setakat ini dua syarikat telah menyatakan komitmen untuk melabur di kawasan industri berkenaan dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM1.55 bilion.

Kerajaan negeri juga akan menubuhkan satu jawatankuasa di peringkat negeri melibatkan agensi dan jabatan berkaitan termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman bagi mempercepatkan kerja-kerja teknikal, katanya.

“Menjelang Oktober tahun depan, kami mahu isu berkaitan bekalan elektrik, air serta tanah ini selesai,” katanya.

KRC yang berkeluasan hampir 505.86 hektar, merupakan salah satu projek nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik 2021-2025 (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]