Berita

Scomi rancang kerjasama dengan Odesi bagi bangunkan program solar bandar



KUALA LUMPUR, 22 Sept -- Scomi Group Bhd merancang untuk bekerjasama dengan Odesi Ecob Sdn Bhd dalam pembangunan dan promosi program solar bandar bagi menjual serta membeli tenaga elektrik yang dijana menerusi model sistem solar fotovolta berasaskan perbelanjaan modal sifar.

Ini susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) hari ini antara anak syarikat miliknya, Scomi Capital Sdn Bhd (SCSB) dengan Odesi yang terbabit dalam penyediaan penyelesaian teknologi maklumat kepada industri strata, bagi meninjau serta meraih peluang berkaitan program tersebut.

MoU berkenaan akan tamat dalam masa 12 bulan kecuali dilanjutkan menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Scomi berkata ia akan memanfaatkan rangkaian pelanggan Odesi yang meluas dalam industri terbabit manakala Odesi pula meraih kepakaran SCSB dalam pelaburan, pembangunan dan operasi konsesi solar.

Program itu bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui membabitkan kemudahan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, majlis perbandaran, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan, pemaju hartanah, syarikat pengurusan hartanah dan pemilik hartanah yang mahu menikmati manfaat menerusi penjimatan tenaga.

Model perbelanjaan modal sifar itu merujuk kepada kos ditanggung oleh penjual elektrik daripada sistem berkenaan (tiada kos sistem yang ditanggung oleh pembeli) yang mana pembeli akan memeterai perjanjian pembelian tenaga dengan pihak penjual.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan kepada Bursa, Scomi memaklumkan bahawa Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) telah memberinya lanjutan selama enam bulan iaitu sehingga 28 Feb, 2022, untuk mengemukakan pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa yang relevan.

Pada 16 Ogos, 2021, syarikat itu telah menyerahkan permohonan kepada Bursa Securities bagi mendapatkan tempoh lanjutan sehingga 12 bulan iaitu 31 Ogos, 2022, untuk mengemukakan pelan tersebut.

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]