KUCHING, 10 Sept -- Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah memeterai perjanjian kerjasama mengenai penyelidikan kakisan melibatkan kemudahan penjanaan tenaga hidro milik pemaju tenaga tersebut.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam bidang kajian asas kakisan kimia pukal serta permukaan, penilaian prestasi penyalutan dan pembangunan rangka kerja pelan pengurusan kakisan bagi Loji Hidroelektrik Bakun di Belaga yang terletak di tengah Sarawak.
Dalam kenyataan hari ini, Sarawak Energy berkata Pengurus Besar Penyelidikan dan Pembangunannya, Dr Ng Sing Muk dan Naib Canselor UTP Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib telah memeterai perjanjian itu pada satu majlis secara maya yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Esekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili pada Isnin lepas.
Bercakap pada majlis itu, Sharbini berkata perjanjian berkenaan penting kerana hasil dapatannya dapat menyumbang dari segi mempertingkat prestasi loji hidroelektrik tersebut yang berkapasiti 2,400 MegaWatt (MW) dan mendapat pentauliahan pada 2011 dan seterusnya diambil alih oleh Sarawak Energy daripada Kementerian Kewangan pada 2017.
“Kerjasama penyelidikan ini juga dapat menyumbang pembelajaran bagi pembangunan hidrotenaga masa depan di Lembangan Rajang dan di serata Borneo dengan persekitaran seperti ciri-ciri geografikal, flora dan hidrologi yang serupa,” katanya dalam kenyataan itu.
Sharbini berkata, walaupun isu kakisan ini secara amnya tidak sukar dielakkan dalam industri tenaga hidro, namun langkah memiliki sistem dan penyelenggaraan berkaitan adalah penting untuk mengurangkan tempoh masa terhenti, memaksimumkan output atau pengeluaran selain menjamin kelangsungan kemudahan hidro terbabit.
“Projek penyelidikan itu akan membolehkan syarikat menilai prestasi dan mempertingkat langkah perlindungan aset-aset penjanaan tenaga Sarawak Energy bagi memastikan aspek kebolehpercayaan terhadap sistem loji tenaga hidro itu tidak terjejas,” katanya.
Menurut Sharbini, Sarawak Energy juga yakin kerjasama dengan UTP akan membuahkan hasil dan perkongsian maklumat berkaitan dapat memberi pemahaman mendalam mengenai faktor penyumbang terhadap kakisan di kemudahan penjagaan tenaga selain memperkasa syarikat dari segi merangka langkah-langkah untuk menanganinya dengan lebih baik.
Sementara itu, Profesor Mohamed Ibrahim menyifatkan pemeteraian perjanjian itu sebagai permulaan hubungan dinamik antara UTP dan Sarawak Energy dalam bidang penyelidikan, perundingan selain akademik.
Menurutnya, Pusat Penyelidikan Kakisan (CCR) UTP di bawah Institut Pengurusan Bahan Cemar, menerajui penyelidikan dan inovasi dalam bidang kakisan dengan menjalankan ujian dan penyelidikan berpandukan keperluan industri selain menawarkan kepakaran dan kemudahan bagi peringkat huluan dan hiliran.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]