KUALA LUMPUR, 10 Sept -- Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Gas and New Energy Sdn Bhd (PGNESB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ENEOS Corporation (ENEOS) untuk meneroka peluang perniagaan hidrogen.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan bersama-sama membangunkan rantaian bekalan hidrogen yang berdaya saing dan bersih antara Malaysia dan Jepun.
Untuk tujuan itu, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian bersama teknikal-komersial mengenai rantaian bekalan hidrogen, antaranya melibatkan pengeluaran hidrogen dan pemindahannya dalam bentuk metilcyclohexane (MCH), yang mana hidrogen diubah daripada keadaan gas asalnya kepada bentuk cecair untuk membolehkan penghantaran dalam jumlah yang besar.
Petronas dan ENEOS akan turut meneroka pengeluaran hidrogen berkarbon rendah daripada kemudahan petrokimia Petronas, dan pada masa akan datang, penghasilan hidrogen hijau daripada tenaga boleh baharu, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kerjasama ini menjadi bukti bagaimana kerjasama industri boleh membantu mempercepat aspirasi bersama kami ke arah masa depan berkarbon rendah.
“Kewujudan sumber tenaga bersih seperti hidrogen, inovasi dan kerjasama dengan rakan niaga dalam pembangunan teknologi adalah penting kerana ia menyumbang ke arah mencapai kos berdaya saing dan boleh skala secara lebih meluas di seluruh perniagaan dan industri,” menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk gas dan tenaga baharu Petronas, Adnan Zainal Abidin.
Petronas berkata pembangunan teknologi pembawa hidrogen organik cecair (LOCH) seperti MCH mendapat tarikan yang segera kerana sifatnya yang stabil secara kimia bagi penyimpanan jangka panjang dan pengangkutan jarak jauh.
Malah, menurutnya, penggunaan LOHC memanfaatkan infrastruktur minyak dan petrokimia konvensional sedia ada yang mengurangkan banyak keperluan untuk membangunkan aset baharu, sekali gus menjadikannya pilihan berdaya maju kepada penggiat tenaga yang kukuh untuk melaksanakannya.
Katanya, pembangunan ekonomi berasaskan hidrogen dijangka melengkapkan pertumbuhan masa depan Malaysia memandangkan negara bersedia kepada peralihan ke arah ekonomi berkarbon rendah.
Bagi projek bersama Petronas ini, ENEOS telah menggunakan pembiayaan daripada Dana Inovasi Hijau kerajaan Jepun yang menaja projek dan inisiatif penyahkarbonan.
Petronas berkata MoU itu dicetuskan melalui aspirasi bersama Petronas dan ENEOS untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
Pada 2020, Petronas mengumumkan hasrat untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 sebagai antara pendekatan holistiknya ke arah kemampanan, manakala ENEOS berusaha ke arah mencapai cita-cita neutral karbon melalui Visi Alam Sekitar 2040.
“Petronas telah menghasilkan hidrogen berkarbon rendah daripada kemudahannya dan akan meneroka pengeluaran komersial hidrogen hijau, tidak lama lagi.
“Syarikat ini bersedia untuk menjadi penyedia penyelesaian hijau yang kompetitif berikutan kelebihan geografi semula jadinya, di samping memperluas portfolio boleh baharu, kerjasama kukuh dengan pelanggan dan rakan teknologi,” tambahnya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]