Berita

Pengecualian kawal selia LPG di Sarawak kurangkan birokrasi - Abang Jo 



KUCHING, 9 Sept  -- Pengecualian kepada pengedar Gas Petroleum Cecair (LPG) di Sarawak untuk memohon kebenaran dan lesen bagi pengedaran LPG dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam aktiviti pengedaran serta kawal selia gas di negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pengecualian yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu itu juga merupakan pengiktirafan kepada kemampuan organisasi korporat Sarawak untuk mengawal selia industri gas.

“Pengecualian ini merupakan pengiktirafan kemampuan organisasi korporat Sarawak untuk mengawal selia dan mempunyai keterlibatan lebih bermakna dalam industri minyak dan gas negara ini.

“Ia juga membolehkan Sarawak mengambil peranan lebih aktif dalam industri minyak dan gas sepertimana aspirasi kerajaan negeri selama ini,” katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan surat pengecualian kawal selia LPG negeri Sarawak di sini, hari ini.

Pada 31 Mei lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada pengedar LPG di Sarawak untuk memohon kebenaran dan lesen bagi pengedaran LPG di negeri itu bermula 1 Jun.

Menerusi pengecualian itu, pemborong dan peruncit LPG di Sarawak hanya memerlukan lesen ‘Distribution of Gas Ordinance’ (DGO) sahaja daripada Kementerian Utiliti Sarawak dan tidak lagi perlu memohon kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA) daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan pengecualian tersebut dibuat berdasarkan persefahaman supaya Sarawak dapat mengawal selia sendiri dan lebih terlibat dalam tadbir urus industri minyak dan gas di negeri itu.

“Pada masa yang sama, kita harap keputusan ini juga dapat meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, yang pastinya akan memberi impak ekonomi positif dalam bentuk pelaburan setempat serta meningkatkan kerancakan aktiviti perdagangan domestik,” katanya dalam ucapannya pada majlis sama. 

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]