Berita

SEDANIA, Pos Malaysia meterai kontrak untuk kurangkan penggunaan tenaga



KUALA LUMPUR, 6 Sept -- SEDANIA Innovator Bhd (SEDANIA), melalui anak syarikatnya SEDANIA Technologies Sdn Bhd, telah menandatangani kontrak dengan Pos Malaysia untuk mengurangkan penggunaan tenaga berdasarkan konsep penjimatan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDANIA Daniel Ruppert berkata usaha terbaharu itu merupakan pencapaian penting bagi SEDANIA terutama ketika syarikat memperluas penyelesaian teknologi hijaunya ke dalam industri rantaian logistik dan bekalan.

"Kami berharap dapat membantu Pos Malaysia untuk mengurangkan kos operasi dan mencapai matlamat kelestarian tenaga.

"Memandangkan model kami tidak mengganggu operasi atau kewangan, kami menggalakkan organisasi lain untuk mengadakan inisiatif serupa dan melaksanakan agenda hijau mereka hari ini dan bukannya esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, SEDANIA akan menyediakan teknologinya melalui rangka kerja Kontrak Prestasi Tenaga yang membolehkan organisasi mencapai objektif persekitaran, lestari dan tadbir urus masing-masing selain mengurangkan penggunaan tenaga secara signifikan dengan tidak melibatkan sebarang perbelanjaan modal.

"Kontrak enam tahun itu mewakili penceburan syarikat ke sektor rantaian bekalan, yang telah menyaksikan pertumbuhan yang besar dalam tempoh 18 bulan lepas ekoran peningkatan perbelanjaan dalam talian," katanya.

Ia menambah menurut laporan, Pos Malaysia telah mengirimkan lebih daripada 6.7 juta bungkusan pada tahun 2020 menerusi perkhidmatan Pos Laju SendParcel, yang menjana pendapatan RM45.5 juta.

SEDANIA berkata kontrak itu akan dimulakan dengan penggunaan kecekapan tenaga dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di lapan lokasi Pos Malaysia terpilih di Lembah Klang yang dijadualkan bermula tahun ini dan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]