Berita

Plus Xnergy perkenalkan program solar sewa-untuk-dimiliki kepada isi rumah Malaysia



KUALA LUMPUR, 26 Ogos  --  Syarikat penyedia tenaga bersih Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd telah memperkenalkan program solar sewa-untuk-dimiliki, yang dijangka dapat membantu mengurangkan bil elektrik bulanan isi rumah Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Plus Xnergy Ko Chuan Zhen berkata syarikat menyasar untuk memasang 2,000 rumah dengan sistem tenaga solar dalam tempoh 12 bulan akan datang dan sehingga 5,000 menjelang tahun kedua selepas diperkenalkan.

"Hasrat kami adalah untuk mempercepat penggunaan penyelesaian solar menerusi program solar sewa-untuk-dimiliki pertama di pasaran yang akan memberikan penjimatan jangka panjang kepada isi rumah Malaysia tanpa menanggung kos bulanan yang tidak realistik dan pada masa sama mempercepat kemajuan  ke arah matlamat tenaga boleh diperbaharui negara.

"Program ini dikatakan dapat menjimatkan sehingga 90 peratus daripada bil elektrik bulanan isi rumah," katanya pada majlis pelancaran program itu secara maya, hari ini.

Ko menambah selepas pembayaran sewaan sekitar RM388 sebulan selama lima tahun, pemasangan solar itu akan dimiliki oleh penduduk, sekali gus memberikan penjimatan yang lebih tinggi.

"Dalam tempoh pembayaran balik, kos operasi dan penyelenggaraan ditanggung oleh Plus Xnergy, tidak ada sebarang kos tersembunyi.

"Ia turut mempunyai jangka waktu pelaksanaan jaminan sehingga 25 tahun," jelasnya.

Terdahulu, Ko turut mengumumkan penjenamaan semula Plus Xnergy, yang sebelumnya dikenali sebagai Plus Solar Systems Sdn Bhd, menjadi syarikat pegangan utama.

Beliau menjelaskan Plus Xnergy Services Sdn Bhd (PXS) ialah anak syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sementara Plus Xnergy Edge Technologies Sdn Bhd ialah anak syarikatnya yang fokus kepada teknologi.

"Meskipun dalam situasi pandemik, Plus Xnergy optimis terhadap pertumbuhan pasaran dan yakin untuk mengunjurkan pertumbuhan pendapatan RM500 juta dalam tempoh tiga tahun.

"Disokong oleh minat dan permintaan daripada rantau lain, kami mungkin mengembangkan operasi ke Vietnam dan Taiwan atau Filipina," katanya.

Pada majlis itu, Plus Xnergy turut mengumumkan kerjasama antara PXS dan Yinson Renewables Pte Ltd, anak syarikat milik penuh Yinson Holdings Bhd, untuk bersama-sama melabur dan mengembangkan portfolio aset hingga 250 megawatt (MW) projek komersial dan industri solar dalam dan luar Malaysia bagi tempoh tiga tahun akan datang.

- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]